Seorang anggota Cawangan Khas Bukit Aman memberitahu Mahkamah Majistret Kota Bharu bahawa beliau melihat Datuk Nik Sapeia Nik Yusof menyembur sejenis gas pemedih mata ketika bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, cuba untuk memberikan ucapan dalam satu insiden di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa, 28 Julai tahun lalu.

L/Kpl Romzi Mat Nayan, saksi ke-11 kes itu berkata beliau turut merakamkan kejadian semburan itu melalui kamera digital mudah alih semasa beliau berada kira-kira 3 meter dari tempat kejadian, demikian menurut laporan Bernama.

"Setelah melihat semula rakaman kejadian, saya lihat satu tangan kanan telah bertindak menyembur gas itu dan ia adalah tangan Datuk Nik Sapeia," katanya ketika memberikan keterangan di hadapan Majistret Azman Mustapha.

Nik Sapeia, 53, seorang tokoh perniagaan didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Dr Mahathir, bekas Anggota Parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, Mohd Nasir Muda dan Suberi Sudin dalam kejadian itu.

Tertuduh yang juga bekas pemimpin Umno di Kelantan didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Zainal Abidin Mustapha.

Romzi ketika disoal Timbalan Pendakwaraya Khairul Anuar Wahab berkata, beliau dapat mengecam tertuduh melalui lengan baju berwarna putih dan memakai jamtangan berwarna keemasan.

Cam tangan

Ketika menerangkan lebih lanjut, Romzi berkata, tertuduh dapat dikenali melalui rambutnya yang beruban, memakai kemeja putih dan berkaca mata.

"Saya cam itu tangan Datuk Nik Sapeia yang saya nampak lebih awal ketika dalam terminal.

"Datuk Nik Sapeia berada berhampiran sebuah kenderaan yang akan digunakan Tun Dr Mahathir untuk berucap," katanya.

Beliau yang ditugaskan mengambil gambar dan membuat pemantauan keselamatan di lapangan terbang ketika itu telah mengambil rakaman insiden itu melalui kamera digital selama 35 minit.

Selepas insiden semburan, katanya, dia melihat seorang lelaki cuba memberi amaran melalui pembesar suara tetapi ditepis oleh tangan tertuduh.

Sebelum insiden itu, Romzi berkata, beliau melihat Ibrahim meluru ke arah tertuduh dan berlaku pertengkaran sewaktu di dalam terminal.

Nampak asap

"Selepas (insiden) semburan itu, saya lihat Datuk Ibrahim turut berjalan ke arah Datuk Nik Sapeia dalam keadaan marah tetapi saya tidak dapat mendengar perkataan yang dikeluarkan oleh kedua-dua mereka disebabkan keadaan yang bising ketika itu," katanya.

Romzi berkata, beliau juga melihat asap manakala orang ramai pula bertempiaran lari di luar terminal.

Pita rakaman itu kemudian ditunjukkan kepada pegawai atasannya di Bukit Aman sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Baharu, ASP Baharin Mohd Noor.

Mahkamah kemudiannya membenarkan pita rakaman itu ditayang semula untuk pengecaman saksi Khamis ini.

Beberapa saksi akan dipanggil untuk tujuan pengecaman ketika ia ditayangkan secara tertutup nanti.

Sebelum itu, pegawai kimia daripada Jabatan Kimia, Terengganu, Zainun Muhamad turut menyambung keterangannya yang disusuli saksi berikutnya L/klp Mohd Khairul Rosli iaitu penjaga stor barang kes Ibu Pejabat Daerah Polis Kota Bharu. Perbicaraan disambung Khamis ini.