Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'BN pakatan korup': Pandangan Pua tak wakili DAP, kata Loke
Diterbitkan:  Jun 24, 2023 10:39 AM
Dikemaskini: 2:39 AM

Pandangan bekas ahli parlimen Petaling Jaya, Tony Pua yang menggelar BN sebagai ‘pakatan korup’ dibuat atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pandangan DAP, kata setiausaha agung parti itu, Anthony Loke.

Loke merujuk laporan media yang memetik ucapan Pua dalam satu majlis yang dianjurkan DAP Petaling Jaya malam tadi.

"Tony Pua tidak lagi memegang apa-apa jawatan dalam DAP. Justeru itu, beliau bercakap di atas kapasiti individu dan tidak sama sekali mewakili kepimpinan parti.

"Ucapan tersebut yang berunsur serangan terhadap rakan gabungan utama dalam Kerajaan Perpaduan tidak seharusnya dikeluarkan (uncalled for)," kata Loke dalam satu kenyataan.

Semalam Pua dilapor berkata BN yang kini bersama Pakatan Harapan (PH) dalam Kerajaan Perpaduan sebagai 'corrupt coalition' atau pakatan 'korup'.

Kenyataan itu disuarakan sewaktu berucap pada Majlis Makan Malam Mengumpul Dana DAP di perkarangan Dewan Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dengan label sama turut diberikan kepada Bersatu.

Pua juga menyuarakan harapan supaya PH dapat membentuk kerajaan sendiri dalam kalangan komponen gabungan itu, tanpa membabitkan Umno dan BN sekiranya gabungan itu menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Kenyataan provokatif

Menyifatkan kenyataan itu sebagai provokatif, Loke berkata kepimpinan tertinggi DAP telah membuat keputusan dasar untuk bekerjasama dengan gabungan politik lain demi mencapai kestabilan politik.

"Sebarang kenyataan provokatif terhadap rakan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan adalah tidak selari dengan pendirian dan hala tuju parti pada masa kini.

"Saya ingin mengingatkan semua pemimpin dan ahli DAP untuk sentiasa menjaga keharmonian dalam hubungan antara parti dan gabungan dalam Kerajaan Perpaduan demi kestabilan politik yang amat diperlukan pada ketika negara menghadapi pelbagai cabaran luaran.

"Sesiapa dalam DAP yang tidak boleh menjaga mulut mereka dalam perkara ini adalah tidak dialu-alukan sama sekali untuk berucap dalam pentas DAP," katanya.

Lihat Komen
ADS