Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Anwar digesa mohon maaf pada pelajar kerana kenyataan 'tak wajar, seksis'
Diterbitkan:  Jun 25, 2023 12:48 PM
Dikemaskini: 4:48 AM

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim digesa memohon maaf berhubung kenyataan yang dikeluarkan kepada seorang pelajar perempuan berusia 18 tahun yang dianggap "tidak wajar, diskriminasi dan seksis".

Timbalan Pengerusi Biro Undang-Undang dan Perlembagaan Bersatu, Sasha Lyna Abdul Latif turut menggesa pemimpin wanita dalam Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan madani untuk bersuara mengenai isu berkenaan.

Ia susulan kenyataan Anwar ketika menghadiri sesi town hall di Nilai, Negeri Sembilan semalam apabila dia menjawab soalan seorang pelajar Tingkatan Enam, yang memperkenalkan dirinya sebagai Adriana.

Anwar ketika menjawab soalan itu memuji pertanyaan tersebut dan secara berseloroh mengatakan akan meminta nombor telefon daripada pelajar berkenaan sekiranya dia masih muda.

“Ia adalah paparan bahasa diskriminasi, melampau dan seksis oleh perdana menteri berusia 75 tahun kepada Adriana yang berusia 18 tahun.

“Dalam keadaan apa pun bahasa seperti ini tidak boleh diterima. Dalam forum televisyen awam, ia berkali-kali ganda mengejutkan.

“Apakah contoh yang ditunjukkan oleh perdana menteri untuk belia negara? Apakah tidak mengapa mengabaikan kecerdasan dan keupayaan wanita, dan sebaliknya menganggap mereka sebagai objek godaan?” soal Sasha dalam satu kenyataan hari ini.

Shasha berkata Anwar pasti tidak akan menjawab dengan cara sebegitu jika individu yang bertanyakan soalan itu adalah seorang lelaki.

Tambahnya, sebagai seorang ahli politik yang telah memperjuangkan gerakan Reformasi sejak 25 tahun lalu, Anwar sepatutnya tahu bahawa dia tidak sepatutnya berseloroh seperti itu.

“Ini seorang yang gemar menekankan 'wacana bertamadun' di setiap forum dan mimbar. Tetapi wacana bertamadun nampaknya tidak dilakukan dalam kesempatan ini,” katanya.

Tambahnya, perdana menteri sebaliknya komited untuk memupuk sikap hormat menghormati, bebas daripada diskriminasi, prejudis atau seksisme.

"Kami menggesa perdana menteri untuk menerima bahawa beliau telah membuat komen secara terang-terangan seksis dalam forum awam dan memohon maaf kepada pelajar yang terlibat dan kepada semua yang mengambil bahagian dalam acara itu, serta kepada negara," kata Sasha.

Pada acara yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia, Nilai, malam tadi, pelajar berusia 18 tahun itu yang memperkenalkan dirinya sebagai Adriana, bertanyakan dua soalan bagaimana generasi muda boleh membantu Malaysia menjadi negara kelas pertama dan mengenai rancangan kerajaan untuk memulihkan semula nilai Ringgit.

Menerusi rakaman video pendek sesi berkenaan yang disiarkan Astro Awani , Anwar memuji Adriana kerana kepetahannya bercakap serta mengemukakan soalan dengan kemas.

"Kalau saya muda saya dah minta nombor telefon dah," katanya secara berseloroh.

Moderator dalam sesi itu turut menyampuk dan secara bergurau berkata, "Datuk Seri tak dapat, bagi kat saya."

Anwar kemudian mengatakan isterinya Wan Azizah Wan Ismail ada menonton siaran langsung tersebut.

Lihat Komen
ADS