Tidak timbul soal BN Selangor memulaukan acara 'Jelajah Mega Madani' di Dataran Kemerdekaan di Shah Alam pada malam Sabtu lalu, kata Pengerusi Umno Selangor, Megat Zulkarnain Omardin.

Sebaliknya, mengulas salah faham itu, dia berkata PH dan BN telah merancang untuk melancarkan jentera kerajaan perpaduan di peringkat negeri Selangor dalam tempoh terdekat ini.

“Program yang berlaku pada Sabtu lepas sebelum ini adalah ceramah atau pun program biasa yang dianjurkan oleh PH.

“Jadi, dia tak timbul soal boikot dan sebagainya,” katanya selepas mesyuarat jawatankuasa BN negeri Selangor di bangunan Umno di Shah Alam, lewat malam tadi.

Tambah Megat Zulkarnain pihaknya juga telah mengadakan perbincangan dengan Amirudin yang juga pengerusi PH Selangor berhubung perkara tersebut.

“Telah ada persetujuan antara saya dengan Datuk Seri Amirudin, kita akan berbincang dan memanggil satu mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan peringkat negeri Selangor, yang mana kita akan duduk bincang.

“Antara tajuk utama yang akan dibincangkan nanti ialah soal pelancaran jentera kerajaan perpaduan di negeri Selangor dan selain daripada berkaitan penyelarasan yang perlu kita buat bagi persediaan pilihan raya negeri Selangor.

“Jadi, kita juga akan buat pengumuman secara bersama untuk pelancaran,” tambahnya.

Berdasarkan poster acara, Perdana Menteri Anwar Ibrahim, timbalannya Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke - masing-masing memimpin PKR, Umno dan DAP - dijadual hadir pada acara tersebut tetapi ketiga-tiganya gagal berbuat demikian.

Ini menimbulkan spekulasi bahawa kempen PH dan BN di Selangor dilihat tidak bermula dengan baik dengan andaian bahawa BN Selangor telah menolak jemputan untuk menyertainya.

Ada pihak pula mengaitkannya dengan rasa tidak puas hati dengan agihan kerusi menjelang pilihan raya negeri yang akan datang di enam negeri.