Pergerakan Puteri Umno menafikan sekeras-kerasnya dakwaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kononnya ahli pergerakan itu mengedarkan VCD seks yang dikaitkan dengan dirinya semasa kempen pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Ijok baru-baru ini.

Sebaliknya, Naib Ketua Puteri Umno, Rosnah Abu Rashid Shirlinmenegaskan bahawa bukan cara ahli pergerakan itu berkempen menarik pengundi dengan mengaibkan maruah orang lain, termasuk dalam pilihanraya kecil Ijok.

Sambil menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak berasas, beliau berkata: "Ahli Puteri juga tidak menemui sebarang video sepanjang kempen di Ijok, baik yang membabitkan penasihat PKR itu atau orang lain.

"Ini berita yang baru saya dengar. Saya telah menghubungi petugas bilik gerakan Puteri untuk mendapatkan laporan mengenai perkara itu, tetapi mereka tidak tahu menahu mengenainya.

"Saya boleh katakan, Puteri tidak tahu menahu mengenai video tersebut. Mungkin ia diedar oleh pihak lain seperti peniaga," katanya ketika dihubungi malaysiakini semalam.

Rosnah yang juga Pengerusi Jentera Kempen Puteri Umno DUN Ijok berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Anwar bahawa ahli Puteri telah mengedar video seks yang dikaitkan dengan dirinya semasa kempen pilihanraya DUN Ijok.

Tiada bukti

Anwar mendakwa demikian ketika berceramah di Markas PAS di Taman Melewar dekat ibu negara, Jumaat lalu yang turut dihadiri Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden PKR, Azmin Ali dan calon PKR DUN Ijok, Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam pilihanraya Ijok yang diadakan 28 April lalu, calon Barisan Nasional (BN) K Parthiban mengalahkan calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.

Rosnah berkata, Anwar dan pembangkang boleh membuat pelbagai tuduhan tetapi tidak ada bukti yang boleh mereka beri kerana perkara tersebut tidak berlaku.

"Inilah cara pembangkang kerana mereka boleh berkata apa sahaja walaupun tanpa bukti tetapi ia bukan cara Puteri Umno berkempen dengan mengaibkan orang lain.

"Saya juga boleh mendakwa orang itu atau orang ini sebarkan video seks pemimpin BN untuk memburukkan pembangkang tetapi ia bukan cara Puteri," katanya.

Rosnah berkata, tugas Puteri di Ijok ialah menerangkan dasar-dasar kerajaan untuk membantu rakyat dan memajukan negara "dan bukannya mengenai perkara kotor seperti itu".

Katanya, pendekatan tersebut lebih berkesan daripada menggunakan cara yang memburuk-burukkan maruah orang lain.