Polis telah membuka kertas siasatan terhadap bekas timbalan ketua Dewan Ulama PAS Kedah Zainul Asri Mohd Romli berhubung ucapannya yang didakwa berbaur hasutan dalam program Himpunan Kedah Berselawat pada Sabtu lepas.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang mengesahkan perkara itu hari ini berkata Muhd Zainul Asri telah dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes berkenaan namun tidak direman.

“Dalam pertemuan pertama (dengan polis) itu, dia telah mengakui kesilapannya dan berkata terlalu teruja apabila mendapat sambutan dalam perhimpunan tersebut.

"Namun saya dimaklumkan siasatan diteruskan sebab ada aduan,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Mengenai Pengurusan Pekerja Asing Kelapan di Putrajaya hari ini.

Satu laporan polis telah dibuat oleh wakil PH di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur terhadap penceramah bebas berkenaan berhubung perkara itu, semalam.

Hari ini, Muhd Zainul Asri telah membuat permohonan maaf berhubung ucapannya yang disiarkan menerusi laman Facebooknya.

-Bernama