Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Empat sekeluarga maut, dua parah dalam kemalangan di Kulim
Diterbitkan:  Jun 28, 2023 8:25 AM
Dikemaskini: 12:25 AM

Empat sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia dua bulan maut manakala dua lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka terlibat kemalangan dengan sebuah treler di Jalan Titi Karangan-Baling di Kulim, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata sebelum kejadian itu, kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 32 tahun yang dinaiki enam sekeluarga itu sedang dalam perjalanan dari arah Kulim untuk pulang ke rumah mereka di Baling.

“Kemalangan itu telah mengakibatkan pemandu, isteri pemandu yang berusia 30 tahun, bayi mereka berusia dua bulan dan ibu mentua pemandu yang berusia 59 tahun maut di tempat kejadian.

“Seorang lagi anak perempuan mereka yang berusia dua tahun dan adik lelaki kepada isterinya yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Kulim untuk menerima rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila kereta yang dipandu mangsa telah terbabas ke laluan bertentangan dan dilanggar treler yang dipandu lelaki berusia 57 tahun.

“Mayat kesemua mangsa akan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan. Hasil siasatan mendapati kedua-dua pemandu mempunyai cukai jalan dan lesen yang sah tempoh dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Terdahulu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah menerima panggilan berhubung kejadian itu pada pukul 4.06 petang tadi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS