Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata apa yang patut dilakukan oleh Malayan Banking Berhad ialah mengikut sahaja dasar kerajaan, iaitu membantu syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Kita tidak mahu ia menjadi satu isu," katanya ketika mengulas kontroversi yang tercetus ekoran syarat baru yang dikenakan bank tersebut terhadap firma guaman yang mahu berurusan dengannya.

Syarat baru tersebut menghendaki firma guaman berkenaan mempunyai sekurang-kurangnya tiga rakan kongsi Bumiputera dengan satu daripadanya mempunyai 50 peratus kepentingan.

Tarikh akhir bagi firma-firma yang telah menjalankan perniagaan dengan Maybank - sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) - ialah setahun selepas pelaksanaan peraturan baru itu pada 1 Julai 2007.

Langkah tersebut mencetuskan kontroversi di kalangan dewan perdagangan dan firma guaman yang mahu mereka diberikan tugasan berdasarkan kepada merit dan bukannya kuota perkauman seumpama itu, demikian menurut laporan Bernama.

Ditanya sekiranya Maybank akan diminta menarik balik syarat seumpama itu, Najib berkata: "Saya rasa mereka tahu apakah dasar kerajaan itu."

Salah tafsir

"Mereka harus faham yang kadangkala kita perlu memberikan kerja kepada syarikat-syarikat Bumiputera. Dalam beberapa hal, kita akan memerlukan syarikat bukan Bumiputera, Jadi mereka boleh bantu. Saya fikir itu adalah OK," katanya.

Najib menegaskan orang ramai tidak patut menyalahtafsirkan dasar kerajaan menggalakkan GLC memberikan perniagaan kepada kedua-dua syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera.

"Jadi, tidak harus ada sebarang peraturan yang keras dan padu tetapi perlu adanya usaha-usaha untuk membantu kedua-duanya," katanya.

"Dasar kerajaan ialah kita mahu menggalakkan GLC memberikan kerja kepada kedua-dua syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera," kata Najib kepada pemberita pada acara BIO 2007, konvensyen bioteknologi terbesar dunia di Boston.

"Kita tidak mahu ia menjadi satu isu. Apa yang patut mereka (Maybank) lakukan ialah mengikut sahaja dasar kerajaan, iaitu membantu syarikat Bumiputera dan bukan Bumiputera," kata Najib.