Beberapa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kedah menganggap Abdul Rahman Othman mempunyai kualiti untuk memimpin dan membawa politik baru bagi mantapkan lagi parti pembangkang itu.

Menurut mereka, pengalaman Abdul Rahman yang pernah menyandangkan jawatan bendahari PKR dan pernah menjadi timbalan presiden Parti Keadilan Nasional, melayakkan beliau menerajui PKR.

Bekas Timbalan Pengerusi PKR Kedah, Mochtar Mansor berkata, Abdul Rahman berkelayakan, berpengalaman serta berwawasan untuk membawa kejayaan kepada parti.

"Saya percaya beliau juga boleh mengukuhkan organisasi parti, termasuk menyelesaikan masalah dalaman yang berlaku sejak beberapa tahun lalu.

"Kita perlu mengakui bahawa Abdul Rahman antara pemimpin yang bekerja keras dalam penggabungan Keadilan dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada 2003," kata beliau yang juga ketua PKR bahagian Merbok.

Semalam Abdul Rahman mengesahkan beliau akan bertanding jawatan presiden PKR dalam kongres nasional parti itu di Seremban 25 Mei ini.

Beliau dijangka berdepan dengan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau penyandang sekarang Datin Seri Dr Wan Azizah Ismail.

Golongan profesional

Empat bahagian PKR di Kedah Merbok, Padang Serai, Langkawi dan Pokok Sena telah mencalonkan Abdul Rahman bertanding jawatan presiden.

Merbok merupakan bahagian PKR pertama di negara ini yang mencalonkan Abdul Rahman untuk bertanding jawatan nombor satu parti itu.

Sementara itu, Ketua PKR bahagian Padang Serai, Mat Saad Mat Din berkata, Abdul Rahman merupakan pemimpin daripada golongan profesional dan ini sesuai dengan parti tersebut yang ramai dianggotai oleh golongan berkenaan.

Katanya, walaupun pencalonan yang diterima kecil tetapi ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana para perwakilan boleh berubah fikiran apabila tiba hari pemilihan kelak.

"Ketua bahagian mungkin tidak menyokong Abdul Rahman tetapi ahli bahagian yang menjadi perwakilan mungkin mengundi bekas bendahari PKR itu dalam kongres nasional nanti.

"Saya menjangka peluang untuk menang 50-50 dengan mengambilkira undi protes terhadap Anwar," katanya.

Ditanya mengenai kesan dari pertandingan jawatan utama parti, beliau yakin, ia memberi kesan baik terhadap proses menyegarkan lagi demokrasi dalam parti.