Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor mempertahankan kenyataannya yang menyamakan usaha menawan Pulau Pinang dengan penaklukan Constantinople oleh umat Islam hampir 600 tahun lepas.

“Constantinople itu metafora (kiasan). Constantinople pun tak ada dah. Yang ada sekarang, Istanbul.

“Saya pun tak faham justifikasi apa yang dia (Guan Eng) buat. Walaupun tinggal berpuluh tahun di Malaysia, bahasa Melayu pun tak faham,” dia dipetik sebagai berkata oleh Harakahdaily.

Lim semalam menyifatkan penggunaan istilah “ala perang” untuk politik semasa berbahaya kepada perlembagaan, keamanan dan perpaduan negara.

Lim Guan Eng

Sanusi sebelum itu merujuk Pulau Pinang sebagai Constantinople dan hadirin ceramahnya di Alor Setar sebagai Muhammad al-Fateh, sultan Turki Usmaniah yang menakluk Constantinople, kubu kuat empayar musuh Byzantine.

Dia bagaimanapun berkata ‘Constantinople’ akan diambil semula “bukan dengan cara kekerasan, tetapi dengan iltizam dan kesungguhan”. 

Sementarara itu, Sanusi juga mengungatkan bahawa Lim sendiri pernah memetaforakan dirinya sebagai Khalifah Umar Abd Aziz, pemerintah silam Islam yang terkenal dengan keadilannya.

Penaklukan Constantinople menurut gambaran artis Austria Fausto Zonaro

Lim yang bekas setiausaha agung DAP kerap memetik nama khalifah itu sebagai panduan ketika mentadbir Pulau Pinang.

“Kenapa boleh ambil metafora tu. Dia bukan Islam. Umar Abd Aziz Khalifah Islam. Tapi tak dak siapa pun kata apa. Seronok dan sokong pula,” katanya ketika ditemui di Alor Setar hari ini.

Sanusi sebelum ini mencetuskan kontroversi dengan mendakwa Pulau Pinang masih dimiliki oleh Kedah.

PAS menguar-uarkan kempen ‘Kalih Penang’ untuk menggempur kubu kuat DAP itu dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.