mk-logo
Berita
Shabery Cheek dilantik pengerusi Felda 1 Julai
Diterbitkan:  Jun 28, 2023 5:10 PM
Dikemaskini: 9:20 AM

Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengumumkan pelantikan Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno (lantikan) Ahmad Shabery Cheek sebagai pengerusi agensi itu yang baru berkuat kuasa pada 1 Julai ini.

Shabery merupakan bekas menteri pertanian dan industri asas tani dari 29 Julai 2015 hingga 9 Mei 2018.

Shabery akan menggantikan Idris Jusoh yang menamatkan perkhidmatan selama tiga tahun sebagai Pengerusi Felda pada 30 Jun ini.

Felda menerusi kenyataan hari ini memaklumkan pelantikan tersebut akan meneruskan kesinambungan usaha transformasi Felda demi kemaslahatan warga peneroka serta generasi baru Felda keseluruhannya.

Gambar fail, Idris Jusoh.

"Seluruh warga Felda mengucapkan setinggi- tinggi penghargaan atas segala sumbangan Idris Jusoh serta mengalu-alukan kehadiran Ahmad Shabery Cheek sebagai Pengerusi Felda yang baru," kata kenyataan itu.

Menurut Felda, antara kejayaan tertinggi Idris ialah peningkatan produktiviti ladang peneroka.

"(Ia) meningkat lebih dua tan per hektar setahun daripada 17.29 tan per hektar pada 2021 kepada 19.43 tan per hektar pada 2022, yang secara langsung turut meningkatkan pendapatan warga peneroka,” kata kenyataan itu lagi.

Felda berkata Idris telah memperkenalkan inisiatif Hab Pembuatan Digital: Pengekodan dan Robotik, bilik darjah pintar serta menaik taraf Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Felda bagi memperkasakan pendidikan generasi baru Felda dan memberikan peluang untuk mendapat pendidikan berkualiti.

Selain itu, Idris juga telah membawa paradigma baru yang menyokong komuniti peneroka menjadi komuniti yang memberi berbanding menerima dan ia dapat dibuktikan dengan penubuhan Waqaf Felda yang kini mengumpul dana hampir RM30 juta termasuk daripada warga peneroka sendiri.

Pada pilihan raya umum ke 15, Idris yang juga ketua Umno Besut tidak mempertahankan kerusi parlimen Besut yang disandangnya sebelum ini.

Lihat Komen
ADS