Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muda kena umum pilih kerajaan atau pembangkang
Diterbitkan:  Jun 28, 2023 5:57 PM
Dikemaskini: 11:02 AM

Ikatan Demokrasi Malaysia (Muda) pimpinan Syed Saddiq Abdul Rahman harus mengumumkan sama ada mereka masih menyokong kerajaan atau ingin bersama pembangkang, gesa Adam Adli.

Ketua Pemuda PKR membuat gesaan itu setelah Muda mahu bertanding dalam pilihan raya di enam negeri secara bersendirian.

“Maka Muda hari ini perlu umum; masih anggap diri sebagai blok kerajaan atau tidak lagi menyokong. 

“Jika tidak lagi sokong; boleh lintas ke blok pembangkang.

“Tiada siapa halang, tidak salah pun dari segi undang-undang,” katanya.

Muda, salah sebuah parti pendukung kerajaan, semalam mengumumkan akan bertanding di kesemua enam negeri dalam pilihan raya negeri tidak lama lagi.

Keputusan itu berpotensi memecahkah undi parti-parti kerajaan dan memberikan kelebihan kepada Pakatan Nasional (PN).

Muda mendakwa mereka dipinggirkan oleh Pakatan Harapan (PH), parti tunjang dalam gabungan kerajaan.

Dalam siri status di Twitter hari ini, Adam juga bertanya tentang sasaran khusus Muda dalam pilihan raya negeri, memandangkan Pakatan Harapan (PH) mentadbir Negeri Sembilan, Pulau Pinang dan Selangor.

Dia berkata penyertaan dalam pilihan raya negeri bermakna mencabar penyandang.

"Tak ada orang masuk pilihan raya sebab suka-suka; semua nak menang dan tubuhkan kerajaan. Itu asas politik pilihan raya. 

"Tak perlu jawab dengan retorik politik tua politik muda; jawab dulu Muda ada matlamat tak untuk ganti PH di negeri-negeri ini.

"Kalau masuk PRN hanya kerana gagal dapatkan ‘ruang nak bertemu dan bermesyuarat’; maka saya anggap Muda memang bukan rakan kongsi yang sesuai disimpan. 

"Ini semua tentang kepentingan anda, bukan rakyat pun," katanya.

Menurut Setiausaha Agung Muda, Amir Hariri Abd Hadi, parti itu hanya menawarkan alternatif kepada "dua gergasi" (PH-BN dan Perikatan Nasional), dan tidak bertindak bawah arahan orang lain.

Amir berkata, negara memerlukan pembangkang yang lebih berkesan.

"Oleh itu, rakyat berhak diberi alternatif yang boleh menjadi ‘tamparan’ kepada kuasa yang ada.”

Lihat Komen
ADS