Kenyataan Khairy Jamaluddin bahawa kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim bakal berhadapan dengan "tsunami ketidakpuasan hati" rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri akan datang menimbulkan pelbagai persoalan.

Ada penganalisis politik yang bersetuju dan ada juga yang menyangkal kenyataan bekas pemimpin Umno itu.

Bagi penganalisis politik dan geostrategis Dr Azmi Hassan, kenyataan seumpama itu hanya perang saraf yang dibuat menjelang PRN.

Dr Azmi Hassan

"Kita tahu sekarang Khairy sedang berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) dan beliau mengakui perkara itu dan sudah pasti menggunakan persepsi 'rakyat tidak puas hati' terhadap kerajaan dan juga PH.

"Ini adalah salah satu strategi kempen. Cuma kita tak tahu sejauh mana rakyat tidak puas hati. Setiap kerajaan memang ada perkara yang mereka (rakyat) tidak puas hati.

"Tapi, dalam hal ini kita tidak tahu sejauh mana kenyataan itu betul. Ini kerana tidak ada tinjauan yang dibuat untuk menentukan kesahihan bahawa rakyat tidak puas hati," katanya kepada Malaysiakini.

Baru-baru ini, Khairy berkata bahawa kerajaan hari ini sepatutnya berasa bimbang kerana bukan “gelombang hijau” yang bakal membadai tetapi "tsunami ketidakpuasan hati" akan melanda pada pilihan raya negeri akan datang.

Gambar Hiasan - Penyokong PN

Katanya, meskipun sentimen agama meningkat dalam kalangan orang Melayu, namun peningkatan sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) bukanlah semata-mata kerana kebangkitan konservatisme.

"Apa yang berlaku di Malaysia hari ini bukanlah kebangkitan "gelombang hijau" berbanding rasa tidak puas hati dalam masyarakat Melayu yang melangkaui isu 3R (kaum, agama, raja)," katanya dalam tulisan yang diterbitkan di Fulcrum oleh Institut ISEAS-Yusof Ishak Singapura.

Katanya, sejak pentadbiran Anwar Ibrahim mengambil alih kuasa, hala tuju ekonomi kurang jelas, kemerosotan nilai ringgit berterusan, dan pengurangan kuasa beli rakyat disebabkan oleh “krisis kos sara hidup” yang berlarutan.

Mengulas lanjut, Azmi membandingkan kenyataan Khairy dengan seorang pemimpin PN yang sebelum ini mendakwa dia mempunyai sokongan '126' orang ahli parlimen untuk kembali berkuasa.

"Saya melihat strategik ini sama PN mengatakan mereka boleh menubuhkan kerajaan dengan ada 126 ahli parlimen sokong mereka.

"Ini sebahagian daripada strategi bukan untuk menubuhkan kerajaan pusat, kerana tidak ada nombor itu. Tapi, strategi itu persepsi bahawa kerajaan tidak stabil untuk kepentingan PRN.

"Jadi, sama juga mengatakan rakyat tidak puas, Umno kerjasama dengan DAP, inflasi yang tinggi, harga makanan yang naik mengakibatkan rakyat tidak puas hati, itu adalah dikatakan perang saraf daripada PN untuk melemahkan kerajaan demi kepentingan keputusan PRN yang tidak lama lagi," katanya.

Dr Lee Kuok Tiung

Namun, bagi pensyarah Kanan Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr Lee Kuok Tiung pandangan Khairy mengenai "tsunami ketidakpuasan hati" rakyat mungkin ada kebenarannya.

Mengambil contoh, ketegangan PH dan BN dalam rundingan kerusi dan sikap anti BN yang dimulakan oleh PH sebelum ini, katanya boleh mengakibatkan rakyat menolak kerjasama gabungan itu pada PRN akan datang.

"Bagi saya, ada asas dengan pandangan KJ tersebut.

"Ketika kerjasama PH-BN soal pengagihan kerusi pun menghadapi dilemma dan ketegangan sesama pemimpin-pemimpin dalam BN antara beberapa faktor tidak baik kepada gabungan PH-BN menjelang PRN yang lebih memerlukan persefahaman dan kepercayaan," katanya.

Setakat berita ini ditulis, Malaysiakini difahamkan, rundingan kerusi PH dan BN masih tidak dapat diselesaikan di sekurang-kurangnya di tujuh DUN di Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Beberapa sumber BN sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa PH bertindak 'tamak' dalam soal agihan kerusi sehingga dua parti komponen BN - MCA dan MIC masing-masing tidak dijanjikan sebarang kerusi di Selangor dan Pulau Pinang.

Manakala, kenyataan ahli MKT Umno Lokman Adam baru-baru ini menyifatkan beberapa pemimpin MCA dan MIC sebagai 'biawak hidup' yang mengkhianati Umno juga tidak disenangi oleh pucuk pimpinan rakan sekutu Umno itu.

Lee juga memberitahu selain faktor ketegangan PH-BN dalam soal agihan kerusi, dan isu dalaman BN, sikap anti BN di kalangan penyokong PH akan menjadi kelemahan gabungan itu pada PRN.

"Sikap anti-BN merupakan legasi yang ditinggalkan oleh PH.

"Hari ni mereka kesuntukkan waktu nak ubah stigma tu menjelang PRN," katanya.

Dia juga menjangkakan tidak mustahil buat ahli-ahli Umno yang bukan dari kem Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi akan mengundi PN semata-mata sebagai tanda protes.