Beberapa perbicaraan yang dijadualkan berlangsung di kompleks mahkamah baru di Jalan Duta tengah hari semalam terpaksa ditangguhkan selepas bekalan elektrik ke bangunan kompleks itu terputus dari jam 1.45 petang hingga 5 petang.

Antara kes yang ditangguhkan ialah inkues kematian Dr Cynthia Joseph yang dijadualkan semalam dan hari ini.

Koroner Tasnim Abu Bakar terpaksa menangguhkan prosiding selama 15 minit apabila sistem lampu dan pendingin udara tidak berfungsi ketika beliau memasuki ruang mahkamah pada jam 2.45 petang.

Menurut laporan Bernama, beliau kemudiannya memutuskan untuk menangguhkan inkues itu ke hari ini apabila bekalan elektrik masih tidak pulih sehingga jam 3 petang.

Di Mahkamah Tinggi Sivil, Hakim Tee Ah Sing terpaksa menghentikan prosiding sebanyak tiga kali, sebelum meneruskan perbicaraan kes penyanyi Wan Aishah Wan Arifin yang menyaman EMI (M) Sdn Bhd kerana pelanggaran kontrak.

Manakala di mahkamah sesyen pula, lampu terpadam ketika seorang jurubahasa hendak membacakan pertuduhan terhadap seorang guru dalam satu kes rasuah dan terpaksa ditangguhkan.

Tidak tahan panas

Seorang pegawai kanan mahkamah berkata, gangguan bekalan itu berpunca daripada litar pelantik di pencawang TNB yang membekalkan elektrik ke bangunan itu serta beberapa bangunan kerajaan yang berhampiran.

"Ini di luar kawalan dan juruteknik dari TNB serta kontraktor sedang memeriksa masalah itu," katanya.

Beberapa orang awam kecewa dengan masalah bekalan elektrik di salah satu kompleks mahkamah terbesar di dunia, yang dikatakan dilengkapi dengan teknologi dan kemudahan tercanggih itu.

Seorang warga tua, Tan Hai Poh, 68, berkata beliau terpaksa keluar dari mahkamah majistret selama 15 minit apabila keadaan amat panas, sehingga menyukarkan beliau bernafas.