Menteri Pengangkutan Anthony Loke belum menerima sebarang laporan mengenai kekecohan yang didakwa berpunca daripada seorang menteri di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Bagaimanapun, dia percaya pihak berkuasa lapangan terbang akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.

"Saya belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu. Saya rasa pihak berkuasa lapangan terbang akan menjalankan siasatan yang lebih terperinci mengenai apa yang berlaku.

"Sudah tentu protokol keselamatan mesti dipatuhi tetapi apa pun, kita serahkan kepada pihak berkuasa lapangan terbang kerana saya percaya mereka akan membuat siasatan terperinci," katanya kepada pemberita di Terminal 2 KLIA hari ini.  

Semalam, BebasNews melaporkan kekecohan berlaku apabila seorang menteri didakwa menyerbu masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk mempertahankan seorang warga China yang dilarang memasuki ke negara ini.

Warga China itu didakwa ditahan di KLIA sejak 28 Jun lalu selepas tiba ke negara.

Memetik sumber, portal itu melaporkan menteri berkenaan yang mengetahui kejadian itu kemudiannya memasuki balai ketibaan KLIA tanpa terlebih dahulu memohon pas.

"Apabila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah-marah kepada polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan warga China yang ditahan sebaik tiba pada Rabu lalu," kata sumber itu.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri berkenaan untuk mendapatkan ulasan.

Sementara itu, ketika dihubungi Jabatan Imigresen enggan mengulas mengenai insiden tersebut.