Kongress Kesatuan Pekerja-Pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa siasatan menyeluruh dijalankan berhubung kekecohan yang didakwa melibatkan seorang menteri di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

Ini selepas laporan menyebut menteri itu dikatakan menyerbu masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk mempertahankan seorang warga China yang dilarang memasuki Malaysia.

Dalam kenyataan media, Presiden Cuepacs Adnan Mat berkata sekiranya kejadian itu berlaku seperti yang didakwa, ia akan melibatkan pelanggaran protokol keselamatan negara dan mengganggu tugas penjawat awam.

"Sebagai individu yang bertaraf menteri, adalah tidak wajar perkara tersebut dilakukan. Semua pihak termasuk pemimpin negara sewajarnya memberi kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa yang melaksanakan tugas.

‘Salah faham proses penahanan’

"Tidak wajar kelakuan menceroboh itu dilakukan kerana ia jelas melanggar prosedur keselamatan atau prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Sekiranya berlaku salah faham dalam proses penahanan pelancong terbabit, menteri terbabit boleh memberikan bantuan mengikut prosedur atau mendapatkan maklumat yang lebih jelas dahulu daripada pihak berkuasa di lapangan terbang," katanya.

Semalam, sebuah portal berita melaporkan kekecohan berlaku apabila seorang menteri didakwa menyerbu masuk ke balai ketibaan antarabangsa untuk mempertahankan seorang warga China yang dilarang memasuki ke negara ini.

Warga China itu didakwa ditahan di KLIA sejak 28 Jun lalu selepas tiba ke negara ini.

Dilaporkan, menteri berkenaan yang mengetahui kejadian itu kemudiannya memasuki balai ketibaan KLIA tanpa terlebih dahulu memohon pas.

"Apabila dihalang, dia menggunakan kuasa menterinya dan marah-marah kepada polis bantuan KLIA dan pegawai imigresen kerana mahu menyelamatkan warga China yang ditahan sebaik tiba pada Rabu lalu," kata sumber seperti dipetik BebasNews.

Terdahulu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata belum menerima sebarang laporan mengenai kekecohan tersebut, tetapi percaya pihak berkuasa lapangan terbang akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kejadian itu.