MP PAS: Buktikan ketegasan dengan bertindak ke atas menteri
Ahli Parlimen Sik menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengambil tindakan ke atas Tiong King Sing sebagai isyarat ketegasan kerajaan mengekang sebarang perbuatan di luar batas undang-indang.
Menurut Ahmad Tarmizi Sulaiman apa yang dilakukan menteri pelancongan, seni dan budaya itu sebenarnya memalukan kerajaan dan mencetuskan kegusaran awam.
Katanya perbuatan menteri yang mengabaikan peraturan serta bertindak melulu adalah tidak boleh diterima sama sekali.
"Langkah ini (mengambil tindakan ke atas menteri) juga akan menghantar mesej yang kuat kepada semua ahli kerajaan bahawa tidak ada toleransi terhadap kelakuan yang melanggar undang-undang.
"Setiap individu yang diberikan jawatan dalam kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap tindakannya dan bersedia menerima akibat yang sewajarnya jika melanggar undang-undang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Tiong menjadi perhatian ramai selepas didakwa menyebabkan kekecohan di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 29 Jun lalu.
Bagaimanapun, Tiong mendakwa kehadirannya di sana ialah untuk mendedahkan berlakunya amalan rasuah dalam kalangan pegawai penguat kuasa di lapangan terbang.
"Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa yang memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.
"Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal," katanya.
Ahmad Tarmizi berkata perdana menteri wajar mendengar teguran daripada pelbagai pihak dalam isu berkenaan dan bertindak segera untuk menjaga maruah dan nama baik negara.
Katanya rakyat berhak mendapat pemimpin yang boleh dipercayai dan bertanggungjawab, serta kerajaan yang menjalankan tugasnya dengan berintegriti.
"Jangankan pula kerajaan hari ini hanya bercakap lantang tetapi bukti kerja tidak ada seperti kata peribahasa, paku sebatang, kuat bunyi tukulnya bertalu-talu," katanya.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2021/08/4877188fb98c0bc2571326dd2767464a.jpg)
