Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kerajaan salur RM11.5 juta naik taraf segera sistem saliran di Kelantan

Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim memperuntukkan sebanyak RM11.5 juta untuk menaik taraf empat sistem saliran dengan kadar segera di Kelantan bagi mengatasi masalah banjir.

Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata empat projek ini akan dilaksanakan segera bermula pertengahan Julai ini.

Menurutnya ia membabitkan projek membina dan menyiapkan saliran bagi mengelakkan banjir di Baruh Kadok ke Pasar Batu 8; projek menaik taraf sistem saliran di Taman Wadi Iman, Kok Lanas; Kampung Kota, kawasan belakang Istana Negeri Kubang Kerian dan pembinaan saliran di Kampung Kota, Kota Bharu.

"Projek ini membabitkan kerja menaik taraf saliran konkrit, membaik pulih jalan dan penutup longkang, pengalihan utiliti Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia serta kerja lain yang berkaitan," katanya pada sidang media di Lawatan Kerja Menteri ke projek membina dan menaiktaraf sistem saliran bagi mengatasi masalah banjir di Taman Wadi Iman, Kok Lanas, Kota Bharu, hari ini.

Nik Nazmi berkata, projek di Baruh Kadok ke Batu 8 dapat mengatasi masalah banjir kilat pada setiap musim tengkujuh dan hujan lebat berikutan saliran sedia ada di lot persendirian yang dikambus.

"Keadaan ini menyebabkan air bertakung dari kawasan Baruh Kadok seluas 12 hektar hingga ke Pasar Batu 8 dan menyebabkan banjir. Aliran trafik di Jalan Kota Bharu ke Kuala Krai juga turut terjejas.

"Tiga projek lain iaitu di Kampung Kota, kawasan belakang Istana Negeri Kubang Kerian dan Taman Wadi Iman, Kok Lanas dijangka siap pada pertengahan tahun hadapan.

"Apabila siap sepenuhnya, tanah seluas 452 hektar yang menjadi kawasan banjir dijangka dapat dikurangkan dan memberi manfaat kepada 7,300 penduduk," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, Nik Nazmi berkata, projek tebatan banjir adalah menjadi keutamaan kepada kementeriannya bagi mengatasi masalah banjir.

"Bajet terbesar kami adalah projek tebatan banjir dan kita akan lakukan tindakan mencegah banjir secara proaktif dan bukannya reaktif.

"Justeru, kita akan membuat perancangan termasuk berbincang dengan Majlis Tindakan Pembangunan Negeri kerana ia turut membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT)," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS