Kumpulan pro-Perikatan Nasional (PN) menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyelesaikan siasatan terhadap Menteri Sumber Manusia V Sivakumar dan pembantunya berhubung dakwaan rasuah membabitkan RM97 juta.

Mereka mendakwa proses siasatan SPRM mengambil masa terlalu lama kerana ia telah melepasi tempoh tiga bulan.

Ahli kumpulan tersebut Vasantha Kumar Krishnan melalui memorandum bertulis kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki mendakwa, kes tersebut masih dilengah-lengahkan pertuduhan di mahkamah.

“Kami mendapati SPRM membuat beberapa siri siasatan termasuk menyerbu pejabat dan kediaman menteri dan merampas dokumen berkaitan kes rasuah ini dengan anggaran nilai RM97 juta.

“Azam Baki juga dilaporkan mengesahkan beberapa pegawai termasuk setiausaha sulit menteri ditahan untuk membantu siasatan kes. Ini bukan siasatan kes biasa tetapi merupakan suatu bukti kukuh yang ada pada SPRM bagi mengesahkan kesahihan bukti-bukti.

“Kelewatan pendakwaan terhadap kes Sivakumar di mahkamah menimbulkan ketidakyakinan dan kepercayaan kepada ketelusan siastaan SPRM,” katanya melalui memorandum berkenaan.

Vasantha mendakwa dia merupakan ahli sayap bersekutu Bersatu, tetapi telah dipertikaikan keahliannya.

Bercakap kepada media di luar ibu pejabat SPRM hari ini, Vasantha membidas tindakan ‘dua darjat’ berhubung kes melibatkan pegawai kerajaan berbanding ahli parlimen pembangkang.

Tambahnya suruhanjaya antirasuah itu dilihat "tidak komited".

“Kes itu telah berjalan selama lebih tiga bulan, jika ada bukti kukuh daripada siasatan, maka pendakwaan perlu dijalankan segera.

“(SPRM) cepat mendakwa pembangkang bagi kes Jana Wibawa tetapi kenapa Azam Baki tidak mendakwa Sivakumar?” soalnya.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan lima pegawai Sivakumar dipecat manakala seorang lagi dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam di tengah siasatan SPRM.

Sivakumar melantik kesemua enam pegawai berkenaan.

"Sesetengah kontrak mereka ditamatkan kerana siasatan SPRM manakala yang lain disebabkan prestasi buruk," kata sumber dari Jabatan Perdana Menteri.

Pada April, SPRM menyerbu Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya dan menahan pegawai kanan menteri itu atas dakwaan rasuah dalam proses pengambilan pekerja asing.

Selepas itu, SPRM turut menahan reman setiausaha sulit Sivakumar selama empat hari manakala menteri itu sendiri dipanggil untuk disoal siasat.

Sebagai tindak balas, Sivakumar menggantung tugas tiga pembantu kanannya, termasuk setiausaha sulit dan pegawai tugas-tugas khas yang ditahan SPRM.

Daripada ketiga-tiga mereka, seorang pegawai kekal digantung tugas selepas dibebaskan manakala dua lagi bercuti sementara menunggu siasatan SPRM selesai.

Sumber sebelum ini memberitahu Malaysiakini salah seorang pegawai yang ditahan berpotensi mempengaruhi kelulusan pengambilan kuota daripada agensi tenaga kerja.

Sementara itu Vasantha selanjutnya memetik laporan berita, mengesahkan bahawa serbuan SPRM sebelum ini di pejabat dan kediaman Sivakumar, dilakukan untuk mengesan wang yang didakwa diperoleh menteri itu.

MalaysiaNow melaporkan pada April bahawa SPRM sedang meneliti sejumlah RM97 juta rasuah.

Portal berita itu melaporkan siasatan tertumpu kepada dakwaan mereka yang terlibat - termasuk pegawai kementerian - telah menubuhkan agensi pengambilan untuk mendapatkan kelulusan daripada kementerian, walaupun terdapat konflik kepentingan.