Jangan takut buat perubahan, kata Hassan Ali
Pucuk pimpinan PAS yang sedia ada perlu diganti jika prestasi mereka tidak memuaskan dan enggan diterima rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Hasan Ali.
Pucuk pimpinan PAS yang sedia ada perlu diganti jika prestasi mereka tidak memuaskan dan enggan diterima rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Hasan Ali.
Pesuruhjaya PAS Selangor itu berkata, rakyat mahu pemimpin yang boleh membawa agenda baru yang lebih besar untuk mengambilalih pemerintahan negara.
"Tidak kira ia ulama, profesional atau golongan muda kerana PAS perlu meninggalkan imej parti yang kabur dan lembik jika mahu ia diterima semua pihak.
"PAS dan pemimpinnya perlu berubah bagi mendepani masa depan kerana rakyat mahu melihat kebolehan parti sebelum mereka menyokong PAS.
"Golongan profesional dalam pucuk pimpinan PAS kini sudah menjadi satu budaya dan tidak perlu dihalang jika ahli mahukan mereka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau merujuk kepada pemilihan pucuk pimpinan parti itu dalam Muktamar PAS di Kota Baru, 1 Jun ini.
Nasharuddin dicabar
Kecuali jawatan presiden, beberapa jawatan utama lain termasuk timbalan presiden PAS yang kini disandang oleh Nasharuddin Mat Isa dijangka dicabar.
Bagaimanapun, katanya, jika barisan kepimpinan sekarang menunjukkan prestasi memuaskan dan mencapai standard yang dikehendaki, mereka wajar dikekalkan.
"Tidak perlu takut membuat perubahan kerana PAS mengamalkan demokrasi di mana pemimpin boleh datang dan pergi mengikut kehendak pengikutnya.
"Jadi tidak pihak yang perlu risau dengan kemasukan golongan profesional ke dalam pucuk pimpinan utama parti," katanya.
Sejak pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998, beberapa profesional sudah menduduki tampuk pimpinan utama PAS.
Hasan, Nasharuddin, Datuk Kamaruddin Jaafar (Setiausaha Agung PAS), Datuk Paduka Husam Musa (Naib Presiden) dan Salahuddin Ayub (Ketua Pemuda) merupakan antara golongan profesional dalam kepimpinan PAS sekarang.
Aliran ulama
Walaupun Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan dan Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat dari aliran ulama, pemimpin profesional dijangka terus mendapat tempat dalam parti pembangkang itu.
"Tidak ada siapa yang boleh menahan kemasukan profesional kerana sistem persekolahan negara melahirkan begitu ramai profesional dan sekolah aliran agama pula semakin pupus," katanya.
Ketika diminta mengulas mengenai Muktamar PAS kali ini yang sunyi dari publisiti, Hassan berkata, ia elok untuk mengelak sebarang spekulasi yang tidak sihat.
"Nampaknya semua yang mahu bertanding mengambil sikap berdiam diri, ia merupakan muktamar yang paling aman," katanya.
Dalam muktamar lalu, Abdul Hadi menang tanpa bertanding jawatan presiden, manakala Nasharuddin menang pertandingan tiga penjuru membabitkan Hassan Shukri dan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman bagi jawatan timbalan presiden PAS.
Manakala Hasan, Husam dan Mohd Sabu pula dipilih memenangi jawatan naib presiden.

