Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Insiden di KLIA: SPRM buru 'ejen' didakwa minta sogokan RM15,000

SPRM sedang memburu seorang "ejen" yang didakwa cuba meminta wang sogokan daripada seorang pelancong China yang terkandas di KLIA, yang menyebabkan berlakunya kekecohan melibatkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing minggu lalu.

Menurut sumber yang dekat dengan kes itu, pegawai SPRM telah mengambil keterangan Tiong dan warga China itu semalam, di mana pegawai diberitahu bahawa seorang lelaki telah meminta lebih RM15,000 bagi membantu wanita itu melepasi pemeriksaan imigresen.

SPRM percaya ejen tersebut adalah pihak luar yang bertindak sebagai orang tengah dan mengambil kesempatan terhadap pelancong yang berdepan risiko dihantar pulang.

"SPRM dapati tiada kesalahan prosedur di pihak imigresen (di KLIA).

"Perempuan warga China itu memang tiada dokumen yang cukup. Dia tiada jadual perjalanan di sini, dia tiket pulang dan tiada wang tunai dalam beg. Jadi memang ada asas untuk hantar pulang (ke negara asal).

"Cuma macam mana orang tengah itu dapat tahu pasal kes ini dan boleh hubungi perempuan itu? SPRM sedang siasat perkara ini," katanya lagi, yang merupakan seorang pegawai tinggi.

'Bayaran pengurusan'

Menurut beberapa sumber, orang tengah itu meminta bayaran untuk apa yang dianggapnya sebagai "bayaran pengurusan" ketika bercakap melalui telefon dengan seorang wanita warga tempatan, yang dikatakan akan mengambil pelancong itu di KLIA.

Sumber berkata, lelaki itu pada mulanya hanya meminta RM3,000 untuk membeli tiket pulang kepada pelancong itu.

"Kemudian dia minta duit lagi dan lagi, sampai lebih RM15,000 agar pelancong itu boleh dilepaskan.

"SPRM sedang cari lelaki dipercayai orang tengah ini," kata sumber.

Difahamkan SPRM juga telah mengambil keterangan wanita warga tempatan itu. Pegawai penyiasat kini sedang melihat kepada saksi-saksi lain dan dijangka memanggil lebih ramai individu.

Namun, sumber berkata pegawai penyiasat merasakan sukar untuk mereka menangkap ejen tersebut kerana insiden minggu lalu telah menjadi perhatian media.

Mereka merasakan Tiong sepatutnya berhubung dengan SPRM terlebih dahulu supaya mereka dapat membuat perancangan untuk menangkap ejen itu, yang kemudiannya dapat membantu siasatan.

Azam Baki

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan pihaknya sedang mencari lelaki itu yang didakwa cuba meminta bayaran daripada pelancong dan kenalannya di Malaysia.

Dia berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 16A Akta SPRM, namun enggan mengulasnya dengan lebih lanjut.

Tiong King Sing

Pada Khamis lalu, BebasNews melaporkan seorang menteri didakwa melanggar protokol keselamatan dan melepasi kaunter imigresen untuk "menyelamatkan" seorang pelancong yang ditahan.

Tiong mengakui dirinya yang disebut dalam laporan itu namun berkata tindakannya telah membongkar amalan rasuah dalam kalangan pegawai di KLIA dan pelancong itu bukan individu pertama yang menerima layanan seumpama itu sebaik tiba di Malaysia.

Tiong mendakwa ada pegawai imigresen yang meminta sehingga RM3,000 daripada pelancong yang ditahan untuk dibebaskan dan dihantar pulang ke negara asal.

Dia kemudian menggesa SPRM untuk menyiasat perkara itu, sambil menambah dia akan memberikan maklumat yang diperlukan.

Lihat Komen
ADS