Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memandang serius terhadap laporan yang mengaitkan jabatan itu dengan siasatan berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah JPN Zamri Misman berkata, pihaknya tidak sama sekali akan berkompromi terhadap sebarang amalan rasuah dan salah guna kuasa melibatkan kakitangannya.

Zamri Misman

“JPN kekal komited menangani gejala rasuah di peringkat jabatan dengan melaksanakan penambahbaikan prosedur pengeluaran dokumen-dokumen pengenalan diri secara berterusan.

“JPN juga mengadakan pelbagai program pengukuhan integriti kakitangan bagi memastikan tiada sebarang ruang penyelewengan dan salah guna kuasa oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Pada masa yang sama, Zamri menegaskan JPN tidak mempunyai ejen atau orang tengah yang dilantik bagi sebarang urusan di JPN.

“Jangan mempercayai sebarang tawaran perkhidmatan dari pihak yang tidak bertanggungjawab dengan mengenakan sebarang bayaran,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim semasa Perhimpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri dipetik sebagai berkata dua agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri iaitu Jabatan Imigresen (Imigresen) dan JPN sedang disiasat berhubung amalan rasuah dan salah guna kuasa dalam kalangan pegawainya.

Katanya, dia menerima maklumat ada unsur salah guna kuasa di JPN apabila proses untuk mendapatkan sijil warga negara dikenakan bayaran.

“Kita permudahkan orang yang layak mendapat status kewarganegaraan dan sebagainya untuk mendapatkan sijil itu dikenakan lagi bayaran.

"Tapi jumlahnya terlalu kecil, harus ada tindakan yang keras dan tegas, kalau tidak dia merosakkan seluruh imej pentadbiran," katanya.

Anwar juga memberitahu masih ada kelompok kecil dalam Jabatan Imigresen yang masih selesa dengan sistem dan amalan lama yang mengaitkan mereka dengan pelakuan rasuah.

Sementara itu, Imigresen dalam satu kenyataan berasingan berkata, pihaknya menyerahkan sepenuhnya siasatan berkaitan kepada SPRM.

"Kita sentiasa berhubung, berbincang dan berkongsi maklumat dengan SPRM untuk membantu proses siasatan lebih telus tanpa sebarang gangguan daripada pihak luar.

Ruslin Jusoh

"Dalam konteks ini, Imigresen dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang didapati terbabit dengan salah laku rasuah sama ada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau mana-mana pejabat Imigresen di seluruh negara," kata Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh.

Katanya, jika ada pegawai imigresen didapati bersalah dengan dakwaan berkenaan, Imigresen tidak akan melindungi mereka.

"Malah, kami akan mengambil tindakan di peringkat jabatan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Kami komited menambah baik prosedur operasi standard (SOP) untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan pelawat warga asing yang memasuki Malaysia," katanya lagi.