Rakaman insiden semburan yang mencederakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama tiga yang lain di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra dekat Kota Bharu pada 28 Julai tahun lalu, dipertontonkan kepada Mahkamah Majistret yang sedang membicarakan kes itu hari ini.

Ia dirakamkan oleh saksi ke-11, L/Kpl Romzi Mat Nayan dari Cawangan Khas Bukit Aman itu. Tayangan rakaman selama 33 minit itu dibuat secara tertutup dan hanya disaksikan beberapa orang tertentu, termasuk saksi bagi tujuan pengecaman.

Ketika menyambung keterangan di hadapan Majistret Azman Mustapha, saksi Romzi berkata, beliau mengenal pasti seorang lelaki yang bertindak menyembur sejenis gas pemedih mata itu selepas melihat semula rakaman insiden itu.

"Hanya tiga orang sahaja yang melihat semula rakaman tersebut, iaitu pegawai saya ASP Anbalagan, ASP Bahrin Mohd Noor dan saya sendiri," katanya ketika menjawab soalan peguam bela, Zainal Abidin Mustapha.

Menurut laporan Bernama, tokoh perniagaan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusof, didakwa menyebabkan kecederaan terhadap Dr Mahathir, bekas Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, dan juga dua lelaki lain iaitu Mohd Nasir Muda dan Suberi Sudin.

Nik Sapeia, 53, seorang bekas pemimpin Umno di Kelantan, didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda, atau sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Simpan dalam laci

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Raja Rozela Raja Toran, yang dibantu Khairul Anuar Wahab.

Ketika disoal balas, Romzi mengakui pita rakaman melalui kamera video digital yang diambilnya tidak dimeterai dalam sampul khas, sebaliknya disimpan dalam sebuah laci berkunci.

"Saya tidak bersetuju pita itu berada di tempat yang tidak selamat kerana ia berkunci," katanya.

Romzi bagaimanapun tidak menjawab beberapa soalan yang lebih khusus dari Zainal Abidin seperti kenapa beliau diarah memfokus hanya kepada Dr Mahathir, Ibrahim dan Nik Sapeia, dengan memberi alasan tidak dapat menjawabnya disebabkan soal keselamatan.

Sewaktu ditanya siapa yang memberi arahan untuk tidak menjawab soalan-soalan tertentu, Romzi menjawab ia adalah atas arahan pegawai atasannya.

Zainal Abidin turut bertanyakan beberapa soalan teknikal mengenai kaedah mengambil gambar video dan fungsi kamera terbabit sehingga pada satu ketika Romzi menafikan kamera video yang digunakannya tidak canggih berdasarkan kepada tahun keluaran kamera itu.

"Kualiti video yang saya ambil adalah baik dan ia tidak diedit," katanya.

.