Pemilihan kali kedua Parti Keadilan Rakyat (PKR), yang dijadual pada 26 ini, dijangka menyaksikan perebutan jawatan utama parti itu.

Seramai 17 orang dicalonkan untuk bertanding tiga jawatan naib presiden manakala 146 lagi layak bertanding 20 kerusi Majlis Kepimpinan Tertinggi (MKT).

Bagaimanapun tumpuan ialah kepada perebutan jawatan presiden selepas bekas bendahari PKR, Abdul Rahman Othman mengesahkan akan mencabar Penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan tersebut dalam kongres nasional parti itu.

Selepas 167 bahagian selesai bermesyuarat, Anwar menerima 120 pencalonan, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mendapat 10 pencalonan manakala Abdul Rahman pula mendapat tujuh pencalonan.

Wan Azizah, yang menerajui parti itu yang ditubuhkan ekoran pemecatan Anwar daripada kerajaan pada 1998, telah menyuara kesediaannya untuk memberi laluan kepada suaminya untuk menerajui PKR.

Anwar, bagaimanapun dilarang aktif dalam politik selama lima tahun sehingga April tahun depan.

Bagi jawatan timbalan presiden pula, penyandangnya, Dr Syed Husin Ali menerima 73 pencalonan, diikuti oleh Naib Presiden, Azmin Ali (54) dan bekas ketua Angkatan Muda, Ezam Mohd Nor (7).

Ekoran pengumuman Azmin untuk tidak akan bertanding jawatan nombor dua itu, begitu juga dengan Ezam, maka Syed Husin dijangka mengekalkan jawatan itu tanpa bertanding - kecuali Azmin mengubah fikiran.

Azmin putuskan minggu depan

Ini berikutan Azmin dilaporkan memberitahu Harakahdaily baru-baru ini yang dia mungkin menimbang semula keputusannya itu.

Ketika dihubungi, Azmin memberitahu malaysiakini, beliau akan membuat keputusan mengenainya awal minggu depan.

Untuk jawatan naib presiden pula, penyandangnya, Dr Lee Boon Chye, serta muka baru, Datuk KS Nallakaruppan, yang juga ketua PKR Kepong, dan Ketua Wanita, Fuziah Salleh menerima pencalonan tertinggi.

Mereka masing-masing menerima 85, 57 dan 42 pencalonan.

Turut dicalonkan termasuklah penyandang R Sivarasa (38), Azmin (34), Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Dr Jeffrey Kitingan (33) dan Mustaffa Kamil Ayub (33), yang dilantik sebagai naib presiden dalam pemilihan parti yang lalu.

Perlembagaan PKR membenarkan perlantikan sehingga tiga naib presiden, di samping tiga yang dipilih

Bagi jawatan MKT pula, bekas tahanan ISA, Dr Badrul Amin Bahron mendahului senarai calon dengan memperolehi 93 pencalonan, diikuti pemimpin dari Pulau Pinang, Dr Mansor Othman Dr Mansor Othman (84) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (adun) Padungan, Dominique Ng (79).

Yang lainnya ialah Dr Xavier Jeyakumar (69), Christina Liew (64), Johari Abdul (64), Dr Sanusi Osman (58), Irene Fernandez (57), Sivarasa (48), Jeffrey (47), Cheah Kah Peng (44), Saiful Izham Ramli (41) dan Tian Chua (40).

Layak bertanding /FONT>

Anak sulung Anwar, Nurul Izzah - yang sebelum ini berkata dia sudah sedia menceburi politik - menerima tiga pencalonan, dan layak bertanding.

Setiap calon dikehendaki menerima sekurang-kurangnya dua pencalonan untuk layak bertanding.

Setiap calon mempunyai masa sehingga Jumaat ini untuk memberi jawapan sama ada akan bertanding atau tidak.

Sementara itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Kamarul Bahrin Abas ketika dihubungi berkata, semua calon diberi tempoh seminggu untuk menjawab surat tawaran untuk bertanding.

"Mereka perlu menjawab selewat-lewatnya Jumaat depan," katanya kepada malaysiakini.

Ketika ditanya mengenai tiga bahagian di Kedah yang diarahkan oleh jawatankuasa pemilihan parti supaya bermesyuarat semula, Kamarul berkata, pencalonan mereka akan dipertimbangkan sekirannya mereka boleh menghantar pencalonan dalam tempoh yang ditetapkan. V

Dalam satu perkembangan berkaitan, Ketua Penerangan PKR, Tian Chua menjelaskan bahawa mesyuarat biro politik parti itu yang bermesyuarat semalam, tidak membincangkan mengenai pencalonan.

"Bukan tugas biro politik untuk berbincang mengenai pencalonan kerana ia dikendalikan oleh jawatankuasa pemilihan parti. Kita hanya berbincang mengenai persediaan logiktik untuuk kongres tersebut," kata Chua.

Kongres nasional PKR kali ini dijadual diadakan pada 25 Mei di Seremban. Pemilihan akan diadakan pada hari kedua, dan keputusannya dijangka diumumkam pada malam hari yang sama.