Jika diteliti, ada yang mendakwa iras Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan berbeza sekarang berbanding sebelum ini.
Anak perempuannya, Nurulhidayah Zahid hari ini menjelaskan ini kerana presiden Umno itu baru-baru ini menjalani pembedahan untuk memperbaiki penglihatannya yang semakin terhalang.
“(Saraf mata) Grandpa (Zahid) sampai dah mengganggu penglihatan dan menjadi keperluan untuk melakukan pembedahan.
“Bila berumur saraf makin kendur dan memudaratkan penglihatan,” katanya dalam catatan di Instagram pada awal pagi.
Susulan pembedahan itu, Nurulhidayah, berkata mata bapanya, kini, kelihatan lebam dan bengkak.

Nurulhidayah berkata, anaknya turut menghidap penyakit sama yang disebut sebagai “lazy eye”.
Bagaimanapun, seorang pengulas membetulkannya dan berkata ia kemungkinan besar adalah ptosis, keadaan yang menyebabkan kelopak mata atas jatuh dan boleh menjadi lebih teruk apabila usia semakin lanjut.
Dalam pada itu, Nurulhidayah turut menafikan Zahid menjalani pembedahan itu atas sebab kosmetik.
"Iya… saraf mata dia tak berfungsi. Itu mata dia jadi (kelihatan) jatuh.
"Buat muka untuk apa, bukan 'superstar' pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata kena la buat sesuatu," katanya.
