Masyarakat India dalam kawasan Dewan Undangan Negeri ( DUN) Ijok menafikan dakwaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengatakan mereka hidup seperti hamba dan dibelenggu kemiskinan.

Seorang penduduk, M Ravi berkata, ada masyarakat lndia yang menjalankan perniagaan dan mampu memiliki kenderaan sendiri.

Katanya, masyarakat India di Ijok, terutamanya yang tinggal di estet, telah mencapai banyak kemajuan jika dibanding dengan masa lalu.

"Kenyataan Anwar mengenai masyarakat India di Ijok itu tidak benar dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya tahu bercakap sahaja," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam ceramahnya di markas PAS di Gombak baru-baru ini, Anwar yang juga penasihat PKR menceritakan pengalamannya semasa berkempen dalam pilihanraya kecil Ijok

Beliau mendakwa, kaum India di Ijok hidup bagaikan hamba, tinggal di rumah yang robek tanpa bekalan air dan elektrik.

Banyak perubahan

Mereka, kata beliau, sanggup memegang kaki pemimpin yang datang berkempen di kampung mereka untuk mendapatkan bantuan.

Dalam pilihanraya DUN Ijok, calon Barisan Nasional (BN) K Parthiban mengalahkan calon PKR, Tan Sri Khalid Ibrahim dengan majoriti 1,850 undi.

Ravi yang merupakan rakan baik Parthiban berkata, beliau membuat kesimpulan tersebut berdasarkan pemerhatiannya sewaktu mengikut calon BN itu berkempen di kawasan itu.

Bagaimanapun, katanya, masyarakat India sepatutnya tidak terlalu mengharapkan bantuan kerajaan dalam setiap perkara.

Sebagai contohnya, katanya, di segi kebersihan, mereka boleh mengadakan gotong-royong untuk membersihkan kawasan perumahan.

"Sebelum ini kawasan estet memang ada masalah bekalan air dan elektrik tetapi sekarang banyak perubahan telah berlaku kerana kerajaan membantu menambahkan bekalannya kepada penduduk Ijok," katanya.

Salur bantuan

Ravi berkata, sejak dahulu lagi kerajaan membantu masyarakat India di Ijok dan bukanya hanya bila ada pilihanraya sahaja.

Bantuan yang diberikan, katanya, adalah dalam bidang pendidikan iaitu bantuan kewangan kepada pelajar miskin untuk membeli pakaian seragam dan peralatan sekolah.

Bagi ibu tunggal pula, tambahnya, kerajaan memberi bantuan mesin jahit untuk menyara hidup.

Sementara seorang lagi penduduk Ijok, Subramaniam berkata, dalam tempoh lima atau enam tahun ini, telah berlaku banyak perubahan dan kemajuan di Ijok

"Jalanraya, bekalan elektrik dan air turut dinikmati oleh kaum India di Ijok dan ini membuktikan arus pembangunan uga sampai ke kawasan ini," katanya.