Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan akan salur RM10 bilion melalui terbitan sukuk ke Felda
Diterbitkan:  Jul 7, 2023 5:34 PM
Dikemaskini: Jul 8, 2023 1:09 AM

Kerajaan akan meneruskan dana pembiayaan sukuk Felda yang tertangguh sebelum ini dengan menyalurkan peruntukan sehingga RM1 bilion setahun untuk 10 tahun akan datang kepada Felda.

Perdana Menteri,  Anwar Ibrahim ketika mengumumkan perkara itu berkata, tindakan itu sebagai memastikan kelangsungan dan usaha penstrukturan semula hutang agensi itu.

Berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda  2023 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, hari ini, Anwar yang juga menteri kewangan berkata penyaluran dana pembiayaan sukuk Felda tertangguh sebelum ini disebabkan komitmen kerajaan untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi. 

“Pembiayaan sukuk Felda tertangguh dan untuk teruskan dana pembiayaan sukuk yang tertangguh sebelum ini, saya dengan dukungan timbalan-timbalan perdana menteri, dan jemaah menteri menyatakan di sini… saya luluskan dana hampir RM1 bilion setiap tahun untuk tempoh 10 tahun kepada Felda.

“(Ini bagi) jamin kelangsungan institusi gergasi (Felda) negara kita,” katanya.

Pada 28 Jun lalu, kerajaan mengumumkan telah menandatangani perjanjian melibatkan jaminan kerajaan kepada Felda untuk menstruktur semula pinjaman melalui terbitan sukuk dan kredit pusingan dalam usaha memulihkan kedudukan kewangan Felda. 

Ini juga membolehkan Felda memberi pemansuhan 80 peratus hutang peneroka berjumlah RM8.3 bilion.

Selain peruntukan itu, Anwar juga memaklumkan, kerajaan akan turut menanggung subsidi diesel sebanyak RM36 juta bagi penjanaan tenaga dan bekalan air bersih.

“Kerajaan juga meluluskan peruntukan RM21 juta bagi pembinaan pusat hemodialisis untuk kegunaan 2,000 pesakit di kawasan rancangan Felda.

“Sebanyak 283 unit Perumahan Generasi Baharu Felda (PBGF) akan disiapkan segera oleh kerajaan,” katanya.

Anwar juga berkata, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM7.7 juta setahun untuk kos operasi, dan penyelenggaraan lampu jalan di kawasan Felda dengan dana itu mula disalurkan minggu depan.

Sambutan Hari Peneroka 2023 yang dihadiri oleh kira-kira 10,000 warga Felda turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi Felda, Ahmad Shabery Cheek dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

[Baca berita penuh]

PM umum insentif, inisiatif buat warga Felda

Sementara itu, Bernama melaporkan mengulas langkah itu, Anwar berkata Kerajaan Perpaduan bertindak memansuhkan hutang peneroka itu kerana memahami apa yang dihadapi oleh peneroka dan mengangkat semula darjat Felda.

Katanya kerajaan juga mempertimbangkan usaha drastik untuk membantu peneroka getah beralih kepada tanaman komoditi lain yang bersesuaian tertakluk kepada kelulusan kerajaan negeri masing-masing.

Beliau berkata tanaman komoditi lain ialah seperti kelapa sawit, kelapa atau sebagainya.

“Namun, saya meminta tempoh sedikit untuk Kementerian Kewangan serta Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) berbincang mengenai implikasi kos tersebut.

“Ini kerana keputusan ini termasuk dengan bayaran tanam semula (SES), yang akan ada implikasi kewangan kerana ia melibatkan banyak pihak seperti Felcra Bhd dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda),” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS