Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Muhyiddin anggap Anwar tak layak jadi PM kerana 'berbohong'
Diterbitkan:  Jul 8, 2023 1:47 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Muhyiddin Yassin mendakwa Anwar Ibrahim telah menipu berhubung langkah kerajaan melupusan hutang Felda justeru ahli parlimen Tambun itu tidak layak untuk menjadi perdana menteri.

Kata Muhyiddin hutang Felda sebenarnya sudah dilupuskan oleh kerajaan pimpinannya pada 2021 lagi.

"Anwar menuduh saya tidak melaksanakan pelupusan hutang peneroka Felda. Ini satu pembohongan besar.

"Pelupusan hutang peneroka Felda telah pun dilaksanakan ketika saya menjadi perdana menteri," katanya.

Tambah pengerusi PN itu, pelupusan tersebut disahkan sendiri oleh menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam jawapan di parlimen pada 23 Feb lalu apabila ia diumum sudah dilaksanakan pada 2021.

"Namun, oleh kerana kekangan aliran tunai Felda, kerajaan PH-BN tidak dapat melaksanakan pelupusan hutang peneroka secara berterusan.

"Susulan itu, mantan pengerusi Felda, Idris Jusoh, juga telah membuat kenyataan pada 24 Feb lalu (memberitahu) bahawa pelupusan hutang peneroka Felda berjumlah RM8.3 billion telah selesai dilaksanakan pada tahun 2021," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Semalam, ketika berucap pada sambutan Hari Peneroka Felda di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps) di Serdang, Anwar mendakwa pengumuman mengenai pemansuhan 80 peratus hutang peneroka Felda yang dibuat kerajaan terdahulu tidak disertai sebarang kelulusan.

Sebaliknya, kata Anwar kerajaan PN pimpinan Muhyiddin hanya membuat pengumuman pelupusan hutang berjumlah RM8.3 bilion tersebut.

“Mereka (kerajaan PN) berdegar-degar mereka berbicara hendak jaga orang Melayu dan Islam tetapi hutang pun tidak dilupus hingga kerajaan perpaduan ambil alih.

“Ya memang (kerajaan PN) umumkan, saya tengok fail, kenal pasti berapa jumlah hutang iaitu sebanyak RM8.3 bilion tetapi kelulusan tiada walaupun sudah umum," katanya.

Sementara itu, Muhyiddin berkata dia bukan jenis manusia yang suka berbohong ataupun tidak mengotakan janji seperti mana Anwar.

"Yang suka berbohong dan tidak menunaikan janji ialah Anwar.

"Dengan pembohongan yang terbaru ini, semakin jelas Anwar bukanlah seorang yang layak untuk kekal menjadi perdana menteri," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS