Lim cabar ketua pemuda PN buat sendiri laporan polis terhadapnya
Pengerusi Kebangsaan DAP Lim Guan Eng mencabar Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari supaya membuat sendiri laporan polis terhadapnya dan bukan meminta anak-anak buahnya berbuat demikian.
Lim berkata, PN terus menggunakan fintah untuk membuat tuduhan palsu dengan mengatakan dia mendakwa bahawa PN akan merobohkan tokong Buddha dan Cina jika mentadbir Pulau Pinang.
Kata Lim, ucapan asalnya dalam Bahasa Mandarin itu diterjemahkan secara salah oleh portal MalaysiaNow berdasarkan laporan China Press.
"Ahmad Fadhli harus berani untuk tampil membuat laporan polis terhadap saya dan tidak hanya membiarkan anak-anak buahnya menghadapi kemungkinan melakukan jenayah dengan membuat laporan polis palsu.
"Ahmad Fadhli ingin mengarahkan jentera Pemuda PN di seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap saya berdasarkan fakta yang palsu, mereka boleh dianggap melakukan satu jenayah iaitu membuat laporan polis palsu di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan.
"Ahmad Fadhli secara berterusan telah membuat serangan politik dan peribadi yang biadab dan tidak berakhlak berdasarkan fitnah jahat ini oleh MalaysiaNow," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam Lim menafikan dia membuat tuduhan bahawa PN akan merobohkan tokong Buddha dan Cina di Pulau Pinang jika mengambil alih kerajaan negeri.
Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu berkata ucapannya dalam bahasa Mandarin telah "diputarbelitkan" oleh MalaysiaNow bagi memberi gambaran sedemikian.
Dia menjelaskan bahawa ucapannya sebelum ini merujuk kepada kes tempat sembahyang Hindu di Kedah yang dirobohkan pada Julai 2020.
Dalam kenyataannya, Lim juga menegaskan yang China Press telah mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan bahawa MalaysiaNow telah tersilap menterjemah berita berkenaan.
"China Press menyiarkan satu laporan khas bahawa MalaysiaNow tersilap dalam terjemahan laporannya kerana saya tidak pernah menyebut tokong Cina ataupun Buddha dalam ucapan saya.
"Ini mengesahkan kenyataan saya semalam bahawa ucapan Bahasa Mandarin saya telah diputarbelitkan," katanya lagi
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/34f3514490984e67f6dd21a7a0c452bf.jpg)
