Kerajaan teliti penubuhan majlis hukuman kes jenayah
Kajian untuk mewujudkan sebuah majlis hukuman bagi meneliti semua hukuman kesalahan jenayah termasuk berkaitan dadah sedang diteliti, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said.
Majlis itu, menurut Azalina, akan menyediakan garis panduan dan pengurangan hukuman penjara serta menggalakkan hukuman rehabilitasi selain hukuman restoratif dalam undang-undang jenayah negara.
Azalina dalam kenyataan hari ini berkata Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) di Jabatan Perdana Menteri juga sedang menilai kaedah untuk meminda Akta Kehadiran Wajib Pesalah-Pesalah 1954.
"Ia bagi menggalakkan rehabilitasi berasaskan komuniti, bukan penjara bagi pesalah yang dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan ke bawah terutama bagi pesalah kali pertama.
“Ini termasuk kesalahan kecil dadah yang menyumbang 63 peratus daripada banduan di Malaysia,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan sempena Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya semalam.
Azalina berkata menangani isu kesesakan di penjara menjadi keutamaan hak asasi manusia bagi kerajaan memandangkan risiko yang dihadapi oleh banduan akibat keadaan tersebut.
"Saya berharap dapat membentangkan hasil usaha-usaha ini melalui kertas kabinet secara bersama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Kesihatan bagi persidangan Parlimen pada penghujung 2023," katanya.
Azalina dalam pada itu berkata penting bagi undang-undang dan agensi penguatkuasaan seiring dengan perkembangan semasa terutamanya berkaitan dengan kemajuan dalam pembuatan dadah sintetik yang canggih dan kaedah penyalahgunaan.
Menurutnya, undang-undang dadah sedia ada di Malaysia digubal pada 1950-an.
"Pada ketika ini, budi bicara kehakiman adalah sangat penting dalam menangani penjenayah dadah berasingan daripada penagih dadah, dan bagi penagih dadah, perlakuan secara individu seperti sama ada individu tersebut adalah pengguna pertama, dan lain-lain perlu diambil kira.
"Budi bicara kehakiman juga penting dalam memperkenalkan pilihan rehabilitasi bukannya hukuman yang menekankan hukuman semata-mata," katanya.
Sementara itu, Azalina berkata memahami bahawa kebergantungan dadah juga adalah salah satu keadaan perubatan, kerajaan ingin menggunakan pendekatan secara "berhati-hati".
"Kami berharap untuk melihat penekanan pada intervensi perubatan, rawatan, dan rehabilitasi dalam menangani isu kebergantungan dadah," katanya mengenai mesyuarat itu.
Ahmad Zahid dalam kenyataan sempena mesyuarat berkenaan berkata KDN dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) diberi tempoh tiga bulan untuk menyelaraskan usaha merangka inisiatif atau program efektif bagi membendung masalah dadah.
- Bernama
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/06/6d3d4ed2792f0a623c5f2619175ade10.jpg)
