Percubaan pembangkang untuk menjalinkan kerjasama, seperti dalam pilihanraya kecil Ijok baru-baru ini, telah gagal menyakinkan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"..ramai menganggap kerjasama (pembangkang) secara luaran sahaja tetapi daripada isinya agak rapuh dan tidak mungkin dapat menyamai kemampuan BN," katanya.

Oleh itu, menurut laporan Bernama, beliau berkata, pakatan pembangkang bukan cabaran besar kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang dan dalam usaha mengulangi kejayaan luar biasa BN dalam 2004.

Sebaliknya, kata beliau, cabaran lebih besar yang dihadapi oleh BN adalah untuk terus menyakinkan rakyat dan pengundi terhadap kewibawaan dan kemampuan kerajaan membangunkan negara dan memenuhi aspirasi mereka.

Dan sebahagian besar keyakinan dan sokongan yang diberikan pengundi, kata Najib, bergantung kepada tanggapan mereka terhadap prestasi wakil rakyat.

"...jadi inilah yang mesti kita terus lakukan...kita mahu mereka menjadi wakil rakyat sebaik mungkin di kawasan masing-masing," katanya kepada pemberita selepas melawat Pangkalan TLDM di Lumut hari ini.

Najib yang juga Menteri Pertahanan berada di Lumut sejak semalam bagi menyertai Permukiman Kelab Penyokong BN (BNBBC) 2007 di Pulau Pangkor.

Perlu yakinkan rakyat

"...khidmat mereka dan layanan serta kemampuan mengambil tindakan bagi menyelesaikan segala masalah di kawasan masing-masing adalah penting," katanya.

Najib juga berkata BN perlu mengambil pendekatan dua peringkat dalam usaha mempertahan dan mengulangi pencapaian hebat BN dalam pilihanraya umum 2004.

Katanya, di peringkat nasional, BN perlu terus melaksanakan dasar serta program yang dapat menyakini rakyat tentang kemampuan kerajaan untuk terus membangunkan negara, mengisi aspirasi rakyat, kesejahteraan serta kualiti hidup rakyat.

Bagi peringkat lokal atau di kawasan iaitu Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dua dimensi perlu diberi perhatian, katanya.

"Ini kerana di peringkat lokal...keyakinan dan keserasian pengundi boleh dibahagikan kepada dua dimensi iaitu dasar induk pada peringkat mikro dan tanggapan kepada wakil kerajaan sama ada di Parlimen atau DUN," katanya.

Najib yang juga Timbalan Presiden Umno berkata, semua bahagian telah diarah menjadikan usaha mendaftarkan pengundi yang belum berdaftar, sebagai agenda utama.

Majoriti daripada 4.6 juta rakyat yang belum mendaftar sebagai pengundi adalah orang Melayu.