Kementerian Pengangkutan akan menambah baik kebajikan dan faedah pemandu bas dalam usaha untuk menarik lebih ramai orang menyertai bidang itu, kata Anthony Loke.

Menurut Menteri Pengangkutan itu langkah tersebut juga adalah untuk memastikan terdapat pemandu bas yang mencukupi di pasaran.

“Selain itu, syarikat Prasarana akan mengadakan jerayawara untuk merekrut lebih ramai pemandu bas dan kami berharap lebih ramai akan tampil untuk mendapatkan pekerjaan ini,” katanya kepada pemberita selepas menjadi panel forum Kestabilan Politik Dalam Parlimen Tergantung di Universiti Sunway di Subang semalam.

Loke berkata demikian mengulas laporan media baru-baru ini berhubung Kesatuan Pekerja Pengangkutan menggesa kerajaan menyelesaikan masalah kekurangan pemandu bas di negara ini dengan mengatasi masalah seperti kos operasi yang tinggi, hasil yang rendah dan persaingan sengit sehingga menyukarkan pengusaha bas untuk menggaji pemandu.

Berhubung keputusan kerajaan untuk menggubal dasar membasmi budaya 'Ali Baba' yang mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi, Loke berkata terdapat pendekatan dan dasar yang perlu dirangka.

Dia berkata ia perlu bagi memastikan sumber dan peruntukan kerajaan yang digunakan untuk tujuan itu dibelanjakan dengan baik dan nilainya dimanfaatkan sepenuhnya.

“Itu yang berlegar dalam fikiran kami, dan agenda paling penting untuk mematahkan elemen rent-seeking (dan pada masa sama) memastikan nilai untuk wang, sesuatu yang kami mahu laksanakan bagi memastikan peruntukan sumber yang lebih baik,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam kenyataannya berkata kerajaan sedang dalam tindakan merangka dasar anti-Ali Baba (rent-seeking) yang mempunyai kesan negatif terhadap ekonomi.

Anwar berkata anggaran kerugian mencecah sekitar satu peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) dan melibatkan aspek perolehan, perlesenan, pemberian permit dan kuota serta pemberian subsidi dan geran.

- Bernama