Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan dakwaan laporan yang disebarkan di internet bahawa beliau pengsan semasa menghadiri majlis jamuan rakyat dan perasmian Dataran Hadhari di Teluk Batik di Lumut tengah hari semalam.

Menurut laporan Bernama, semasa menyerahkan kunci kepada sembilan penerima rumah program Khidmat Bakti Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) di majlis kenduri rakyat di Teluk Batik, Perak, Abdullah tiba-tiba hilang keseimbangan badan dan hampir terjatuh.

Bagaimanapun, Perdana Menteri sempat dipegang oleh Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali dan Pemangku Pengerusi BNBBC Datuk Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar.

"Saya sihat. Jangan Bimbang," kata Abdullah sambil menambah beliau akan meneruskan program-program yang telah diaturkan untuk beliau.

"Doktor tadi telah menjalankan bermacam-macam ujian termasuk ECG, darah dan tekanan darah dan kesemuanya adalah normal," katanya kepada pemberita di Lumut. Beliau diperiksa oleh doktor peribadinya Dr Sanjiv Joshi.

Abdullah tiba di Lumut pagi semalam untuk menyertai Program Khidmat Komuniti dan menutup Program Permukiman BNBBC 2007. Sebelum itu, beliau menyertai anggota BNBBC dalam kerja gotong-royong membina tiga rumah penduduk yang menerima bantuan di bawah Program Khidmat Komuniti di Kampung Tanjung Burung, Ujung Pasir di Pantai Remis.

Perdana Menteri berkata keadaan dirinya itu mungkin disebabkan cuaca semalam begitu panas dan semalam beliau kurang tidur.

Terasa letih

"(Setelah diperiksa doktor) saya sendiri rasa lega. Saya sendiripun risau. Syukur pada Allah," katanya.

Menceritakan apa yang berlaku, Abdullah berkata setelah selesai berucap, beliau duduk di atas pentas dan semasa diminta menyampaikan kunci kepada para penerima, ketika itu beliau berasa letih.

Sementara itu, Dr Sanjiv berkata keadaan yang dialami Abdullah itu adalah "berpunca daripada keletihan akibat cuaca panas."

"Selepas pemeriksaan menyeluruh, keadaan kesihatan Perdana Menteri didapati adalah baik dan tiada apa yang perlu dibimbangkan," katanya.

Dr Sanjiv berkata keletihan akibat cuaca panas boleh menyerang sesiapa sahaja kerana suhu pada ketika itu dilaporkan 44 darjah Celcius.

"Menteri Besar Perak Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali nampak saya tidak berapa elok. Saya terus duduk. Setelah berasa lega saya sambung balik beri kunci pada para penerima," katanya.

Abdullah berkata selepas itulah baru doktor peribadinya membuat pemeriksaan ke atas dirinya dan mendapati keadaannya baik.

Kepada soalan pemberita sama ada beliau berasa nak pitam pada waktu itu, Abdullah berkata: "Tidak".

PTeruskan program

Ditanya bagaimana keadaannya sekarang, Abdullah berkata "Tak ada apa-apa. Jangan bimbang. Saya sendiri jaga kesihatan saya. Dan akan meneruskan program malam ini."

Sementara itu, Raja Ahmad Zainuddin berkata beliau sendiri berada di majlis itu dan dakwaan Perdana Menteri pengsan adalah tidak benar.

"Saya sendiri ada di atas pentas. Perdana Menteri tidak pengsan seperti yang dilaporkan oleh blog. Perdana Menteri cuma duduk seketika setelah berasa penat dan ketika itu cuaca memang cukup panas sampai 44 darjah celsius.

"Saya hairan bagaimana boleh tersebar cerita Perdana Menteri pengsan sedangkan perkara itu tidak benar sama sekali," katanya.

Malam tad, Abdullah menghadiri majlis penutupan Permukiman BNBBC 2007 di sini dan dijadual berlepas pulang ke ibu negara hari ini.

Program Permukiman BNBBC selama empat hari, yang bermula Jumaat disertai kira-kira 100 anggota Parlimen BN dan anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) BN Perak.

Antara aktiviti yang diadakan ialah meninjau pembangunan di Perak, dialog bersama pemimpin Barisan Nasional (BN), program khidmat komuniti serta sukan.