Seorang bekas pegawai bank didakwa di Mahkamah Majistret di Kampar hari ini atas dua pertuduhan penipuan pelaburan wang tidak wujud yang melibatkan kerugian lebih RM110,000 dua tahun lepas.

M Patmanathan, 43, mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret A Hafiizh Abu Bakar.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Patmanathan didakwa menipu dua individu iaitu seorang lelaki berusia 32 tahun pada Mac 2021 dan seorang wanita berusia 52 tahun pada Okt 2021 untuk menyerahkan wang sebagai pelaburan dalam “Maybank Bond” dan “Hwang Bond” sehingga menyebabkan mangsa masing-masing kerugian RM30,000 dan RM80,600.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kampar dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, sebatan dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya M Esther Jacyntha menawarkan jaminan RM40,000 bagi semua pertuduhan bagaimanapun, peguam Baldip Singh yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan atas alasan tertuduh menanggung tiga anak.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan pertama dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan kedua.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 26 Julai ini.

- Bernama