Pengundi di Kelantan diingatkan betapa mereka berisiko menanggung dosa sekiranya mengundi dengan tujuan mempertahankan kerajaan PAS di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Amanah Kelantan Che Ibrahim Mohamed berkata keadaan itu kemungkinan berlaku sekiranya keputusan mempertahankan kerajaan PAS boleh menambah derita dan kesusahan rakyat.

“Jika tuan-puan memilih untuk ‘pertahan’, keputusan itu mungkin boleh menyebabkan dosa jika ia sekadar menambah derita dan kesusahan rakyat.

"Sekadar mengulangi kegagalan demi kegagalan (kerajaan PAS Kelantan) mustahil boleh menyumbang pahala kepada undi kita," katanya.

Jelas merujuk kepada perbandingan dan hujah dosa-pahala yang sering digunakan pas, bekas kadi itu berkata selama bertahun-tahun Kelantan ditadbir oleh PAS, banyak isu yang gagal ditangani kerajaan negeri.

Dalam keadaan begitu, katanya, jika pengundi berhajat untuk terus memberikan kemenangan kepada PAS-PN dalam pilihan raya negeri (PRN) pertengahan Ogos nanti, bermakna mereka mahu kesulitan itu dipanjangkan.

Pada masa sama Che Ibrahim mengakui kemungkinan untuk mengubah keadaan agak sukar.

“Peluang untuk berubah masih samar berdasarkan pengalaman 33 tahun sebelumnya, lebih-lebih lagi apabila terpaksa bergantung kepada ihsan dan bantuan daripada kerajaan persekutuan,” katanya dalam tulisan di Facebook, semalam.

Kelantan mula dipentadbir PAS sejak 1990 dan berjaya mempertahankan kekuasaan sehingga kini walaupun dibelenggu pelbagai masalah seperti bekalan air bersih, kekurangan peluang pekerjaan dan infrastruktur awam.

Hubungan negeri-pusat

Mengulas lanjut bekas timbalan pengarah Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) itu berkata PAS membuktikan tahap pencapaian dan keupayaan mereka mentadbir melalui 33 tahun dengan amanah yang terpikul dan ternyata banyak perkara gagal diselesaikan.

“Islam yang dilaungkan hanya sekadar sedap di kuliah dan pentas ceramah, realitinya hanya sama dengan Islam di negeri-negeri yang bukan di bawah PAS,” katanya.

Sebaliknya kata Che Ibrahim jika pengundi memilih untuk ‘tukar’, Kelantan mempunyai peluang untuk berubah ke arah lebih baik.

“Kepimpinan baru tentunya akan berbuat sesuatu untuk membuktikan pilihan pengundi adalah tepat, ditambah pula dengan sokongan dan hubungan yang erat dengan kerajaan persekutuan atas dasar kerajaan Madani dan kerajaan perpaduan.

“BN dan PH tentunya mempunyai kelebihan untuk mengubah Kelantan ke arah yang lebih baik kerana ada keserasiannya dengan kerajaan pusat dan tentunya bantuan lebih mudah dan lebih berkesan,” jelasnya.