Pertandingan sengit bagi jawatan timbalan presiden tahun lalu tidak menjejaskan perpaduan dalam MIC, kata Presidennya, Datuk Seri S Samy Vellu.

"Parti bersatu-padu dan dalam keadaan kukuh," katanya kepada pemberita selepas penutupan perhimpunan agung ke-61 di Kuala Lumpur semalam.

"Semua orang mematuhi arahan dan menjalankan tugas mereka. Semua orang tahu tanggungjawab masing-masing," tambahnya.

Presiden MIC itu juga puashati dengan prestasi timbalan barunya, Datuk G Palanivel.

"Saya tidak payah bagi tahu Palaniel apa nak buat. Belia faham tugasnya. Contohnya, di (pilihanraya kecil) Ijok, beliau telah mendaftar 800 penduduk miskin India untuk mendapat bantuan dari kerajaamn. Beliau juga melakukannya dalam bidang-bidang yang lain," kata Samy Vellu.

Kenyataan beliau itu dipercayai bertujuan untuk menghapuskan spekulasi bahawa hubungannya dengan timbalannya itu kurang baik.

Dalam pemilihan parti itu Jun lalu, Palanivel menewaskan penyandangnya, Datuk S S Subramaniam, yang memang diketahui umum tidak sehaluan dengan Samy Vellu.

Menjelang pemilihan tersebut, Samy Vellu secara terbuka menyatakan sokongannya kepada Palanivel dan beliau antara lain menuduhkan Subramaniam, 'menikamnya dari belakang'.

Format baru

Sementara itu, presiden MIC itu juga mendedahkan bahawa beliau telah mengarahkan wakil rakyat dari MIC supaya menunaikan tugas mereka mengikut format baru.

Samy Vellu berkata, beliau mahu mereka meningkatkan perkhidmatan untuk membantu rakyat yang memerlukan bantuan mereka.

""Tidak guna membuka pejabat dan empat atau lima orang sahaja datang jumpa kita. Saya fikir cara itu sudah ketinggalan masa. Wakil rakyat tidak harus duduk saja dalam pejabatnya dan berkata dia berjumpa dengan rakyat.

"(Sebaliknya) wakil rakyat mesti pergi berjumpa rakyat. Masa rakyat datang berjumpa wakil rakyat sudah berlalu," tegasnya.

Presiden MIC itu menjawab soalan sama ada wakil rakyat dari parti itu telah mematuhi arahan supaya mengemukakan kad prestasi masing-masing.

Menurut Samy Vellu, semua wakil rakyat MIC mengemukakan laporan bulanan mereka.

Dalam kempen pilihanraya kecil Ijok bulan lalu, isu mengenai prestasi wakil rakyat sebelum ini, K Sivalingam hebat diperkatakan.

Namun, calon BN dari MIC, K Parthiban berjaya mengekalkan kerusi tersebut, dengan menewaskan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tan Sri Khalid Ibrahim.

Dalam satu lagi perkembangan, presiden MIC itu berkata, parti itu akan hanya mendapat tambahan kerusi jika dilakukan persempadanan semula.

"Kita tidak boleh minta kerusi milik orang lain," tambahnya.