NGO gesa wanita diberi ruang sama dalam PRN bulan depan
Kumpulan aktivis pemerkasaan wanita menyeru parti politik supaya menyokong kesaksamaan buat calon wanita dalam enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Women in Power berkata pihak berkepentingan yang berkaitan harus mengambil langkah proaktif dalam menangani isu perbezaan jantina dalam politik.
“Dalam PRN akan datang, Women in Power menggesa parti politik dan pihak berkepentingan untuk menyokong objektif meletakkan 50 peratus calon wanita.
"Kesaksamaan perwakilan adalah tonggak asas masyarakat demokratik. Walaupun terdapat kemajuan yang ketara, kesaksamaan gender dalam landskap politik kekal sebagai isu yang mendesak.
"Malaysia hanya mempunyai lima menteri wanita dalam kabinet yang dianggotai 28 orang.
"Jumlah pemimpin wanita tidak mewakili 50.3 peratus penduduk wanita di Malaysia," katanya dalam kenyataan yang ditandatangani oleh "pengurus Women in Power".
Kumpulan itu menegaskan peranan wanita sangat signifikan khususnya dalam membentuk sebahagian besar penduduk negara dan penting bagi memastikan mereka diberi peluang dan penyertaan yang sama.
Katanya parti politik seharusnya mengambil pendekatan proaktif seperti melaksanakan kuota jantina dan memantau kemajuan mereka bagi mencapai keseimbangan jantina dalam senarai calon mereka.
Menurut akaun Twitter Women in Power, NGO itu diasaskan oleh Amira Aisya Abdul Aziz, yang juga timbalan presiden Muda.
Muda baru-baru ini mengumumkan bahawa mereka akan meletakkan sekurang-kurangnya 50 peratus calon wanita dalam PRN pada 12 Ogos nanti di Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.
Jabatan Perangkaan semalam mengeluarkan kenyataan jumlah penduduk wanita di negara ini mencecah 15.7 juta, iaitu mewakili 47.9 peratus daripada keseluruhan penduduknya.
/file/1037/2b65be132bb6075f8ace81103c9f6ad1.jpg)
