Kerjasama dengan DAP: PAS tak terikat, Umno pula walak, kata Sanusi
PAS tidak pernah mengorbankan prinsipnya walaupun ketika parti itu menjalin kerjasama politik dengan DAP, kata pengarah pilihan raya PAS Muhammad Sanusi Md Nor.
Tidak seperti Umno bersama DAP sekarang, Sanusi mendakwa parti yang berpaksikan Melayu itu dilihat tunduk kepada DAP sejak mula bekerjasama selepas Pilihan Raya Umum ke-15.
Menurutnya, PAS mempunyai sejarah meninggalkan pakatan dengan DAP apabila parti itu kemudiannya membantah visi mereka untuk menubuhkan sebuah negara Islam.

“Kita bekerjasama dengan DAP pada 2002. Bila DAP kata ‘langkah mayat saya dulu untuk melaksanakan Islam’. Kita, BA (Barisan Alternatif) putus, DAP keluar. No problem!” kata Sanusi seperti yang dilaporkan oleh akhbar rasmi PAS, Harakah Daily.
PAS, katanya kemudian menyertai pakatan lain selepas DAP bersedia menerima perjuangan PAS, dan membentuk apa yang dahulunya dikenali sebagai Pakatan Rakyat.
“Kita prinsip kita tak pernah goyang, tak pernah digadaikan untuk bekerjasama dengan dia. Kalau you tak boleh terima dasar kita, you out. Kita pecah dengan DAP balik pasal dasar.
“Pasal walak tadi itulah. Kita tak boleh beri walak kepada DAP. Sampai hang ganggu kami punya perjuangan dasar, perkara-perkara asas,” katanya lagi.

Namun, laporan Harakah Daily hari ini bagaimanapun tidak memuatkan sebarang petikan langsung kata-kata Sanusi mengenai Umno.
Ia juga tidak menyebut sebarang perincian oleh Sanusi atau memberi contoh-contoh yang membuktikan Umno walak kepada DAP.
Pada 1999, beberapa parti pembangkang termasuk PAS, DAP dan PKR (ketika itu dikenali sebagai Parti Keadilan Nasional) membentuk Barisan Alternatif untuk menghadapi pilihan raya umum ke-10 bersama-sama.
DAP kemudiannya meninggalkan Barisan Alternatif pada September 2001 apabila ia tidak dapat menyelesaikan isu mengenai negara Islam, yang konsepnya dicetuskan oleh sekutunya, PAS ketika itu.

PAS, DAP dan PKR membentuk satu lagi pakatan pada 2008 - Pakatan Rakyat - yang sekali lagi tumbang pada 2015 berikutan pertikaian antara PAS dan DAP.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/02/e35e9f635eda24bdbc69d0b44af618b0.jpg)
