BN Kedah melahirkan kebimbangan berlaku perpecahan undi kesan daripada langkah parti Muda untuk bertanding pada enam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid berkata pertandingan tiga penjuru atau lebih akan menimbulkan pelbagai persepsi kepada pengundi berikutan mereka mempunyai banyak pilihan.

"Macam-macam persepsi (timbul) apabila lebih daripada dua (penjuru), sampai ke peringkat pelbagai gambaran yang boleh diberikan dengan apa yang akan berlaku apabila lebih daripada dua penjuru," katanya.

Pada dasarnya Muda merupakan parti yang menyokong kerajaan perpaduan melalui wakil tunggal parti itu di Dewan Rakyat, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Ahli parlimen Muar itu juga merupakan presiden Muda.

Bagaimanapun Muda mengumumkan mereka akan meletakkan calon di beberapa kerusi di enam negeri yang akan terlibat dalam PRN pada 12 Ogos ini.

Setakat ini Muda sudah mengumumkan mereka akan bertanding di empat kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Selangor.

Kumpulan pertama itu diketuai oleh setiausaha agung parti Amir Hariri Abd Hadi yang akan diturunkan di DUN Sri Serdang.

Selain Amir Hariri, turut akan menjadi calon ialah Syaidiyah Izzati Nur Razak Maideen di DUN Batu Tiga, Thanusha Ramanieswaran (DUN Sentosa), dan Melanie Ting (DUN Bukit Antarabangsa).

Pada 2018 DUN Sri Serdang dimenangi oleh Amanah, manakala tiga lagi kerusi dimenangi oleh PKR.

Setiap kerusi berkenaan dimenangi dengan majoriti lima digit.

Menurut Mahdzir ketika ini belum dapat dipastikan lagi sama ada Muda akan turut bertanding di Kedah atau sebaliknya.

"Setakat ini mereka baru umumkan bertanding di Selangor,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan bakul makanan sumbangan Yayasan Bank Rakyat di Pusat Komuniti Padang Kerasak, Naka di Kuala Nerang, Kedah, hari ini.

Mengulas lanjut, Mahdzir berkata BN Kedah tetap bersikap terbuka sekiranya Muda mahu bertanding di negeri itu selaras dengan amalan demokrasi di negara ini.

"Dalam demokrasi ini apa yang boleh dikata kalau orang nak masuk? Tak boleh nak halang sebab dalam demokrasi mana mana parti yang berdaftar secara sah boleh bertanding dalam pilihan raya," katanya.