Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah dimasukkan ke Hospital Langkawi petang ini selepas mengadu menghadapi masalah pernafasan.

Mengikut pembantu beliau, Sufi Yusuf, Dr Mahahtir dimasukkan ke unit penjagaan rapi (ICU) untuk pemerhatian lanjut.

"Beliau mengadu sukar bernafas dan dibawa ke hospital berkenaan. Para doktor memutuskan untuk meletakkan beliau di bawah pemerhatian," kata Sufi kepada malaysiakini.

Menurutnya, Dr Mahathir, 81, dimasukkan ke Hospital Langkawi kira-kira jam 3.50 petang dan dalam keadaan sedar dan stabil.

"Beliau ada program di Langkawi hari ini dan dijadual pulang ke Kuala Lumpur esok," katanya.

Bagaimanapun, katanya, Dr Mahathir mempunyai aturcara yang ketat di Bukit Merah dan Taiping di Perak sejak Khamis lalu.

Semalam, beliau menyampaikan ucaptama dalam kolokium bertajuk 'Mengantarabangsakan Melayu' anjuran Biro Antarabangsa Pemuda Umno Malaysia di Taiping.

November lalu, beliau mengalami serangan ringan sakit jantung dan dirawat di Institut Jantung Negara.

Dr Mahathir, yang memimpin Malaysia selama 22 tahun dari 1981 hingga 2003 terbabit dalam pertelingkahan dengan penggantinya Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Beliau mendakwa Abdullah tidak cekap menguruskan ekonomi negara, mengamalkan nepotisme dan turut membangkitkan isu-isu membabitkan rasuah.