Semua 27 ahli jawatankuasa (AJK) Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahagian Padang Serai termasuk ketua bahagian, Mat Saat Mat Din telah memulaukan mesyuarat pemilihan bahagian tersebut semalam sebagai membantah arahan Jawatankuasa Pemilihan (JKP) mengarahkan mereka mengadakan mesyuarat semula.

Berikutan itu, bekas ketua bahagian yang juga Setiausaha Badan Perhubungan PKR Kedah, Abdul Hamid Othman telah menang tanpa bertanding jawatan ketua bahagian Padang Serai.

Mat Saad ketika dihubungi berkata, mesyuarat tersebut hanya bertujuan untuk mengembalikan semula jawatan ketua bahagian kepada bekas penyandangnya, Abdul Hamid yang kalah kepadanya dalam mesyuarat pertama 10 Mac lalu.

"Semua yang pergi merupakan penyokong Abdul Hamid dengan agenda yang telah ditetapkan, iaitu mahu Abdul Hamid menjadi Ketua PKR bahagian Padang Serai.

"Apa muslihat dan agenda mesyuarat tersebut diadakan melainkan untuk membolehkan Abdul Hamid dilantik sebagai ketua bahagian Padang Serai.

"Jadi saya dan semua AJK seramai 26 termasuk timbalan, ketua angkatan muda dan wanita mengambil keputusan memulaukannya kerana hanya membuang masa," katanya.

Mesyuarat pemilihan bahagian Padang Serai yang diadakan di Kampung Sungai Badak itu, dirasmikan oleh Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul dan dipantau oleh PKR Pulau Pinang.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang agenda untuk menjatuhkan Mat Saad dari jawatan Ketua bahagian Padang Serai.

Enggan mengulas

Sebaliknya, katanya, mesyuarat tersebut terpaksa diadakan semula atas arahan Ibu Pejabat Parti setelah mendapati mesyuarat pertama pada 10 Mac tidak sah.

"Jawatan ketua bahagian tidak penting kepada saya...saya hanya menjalankan amanah yang ditugaskan parti bagi menghadapi pilihanraya umum akan datang.

"Mesyuarat ini diuruskan sepenuhnya oleh Badan Perhubungan PKR negeri dengan pemantauan PKR Pulau Pinang bagi mengelak sebarang penipuan atau penyelewengan," katanya.

Bagaimanapun, Abdul Hamid enggan mengulas mengenai hubungannya dengan Mat Saad yang menurutnya sebelum ini sangat erat seperti 'isu dengan kuku'.

Johari ketika dihubungi berkata, bahagian Padang Serai boleh menghantar perwakilan ke Kongres Nasional PKR di Seremban, 25 Mei ini.

Setiap bahagian PKR boleh menghantar 12 perwakilan ke kongres nasional kelak.

Mengenai bahagian Kulim Bandar Baru yang diarahkan oleh ibu pejabat parti supaya mengadakan mesyuarat semula, Johari berkata, pihaknya belum mendapat arahan dari JKP.

Bahagian tersebut terpaksa mengadakan semula setelah mesyuarat terdahulu dibatalkan kerana mendapat bantahan daripada ahli.