Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini mengeluarkan satu kenyataan di persidangan Dewan Undangan Negeri bagi menjawab semua tuduhan amalan rasuah terhadap beliau dan kerajaan negeri, berikutan satu laporan yang disiarkan oleh sebuah akhbar, Japan Times.

Pada 29 Mac lalu, satu artikel dalam Japan Times yang bertajuk "Wood Carriers Allegedly Hid 1.1 Billion Yen Income" (syarikat pengangkutan kayu didakwa tidak isytihar pendapatan 1.1 bilion yen), mendakwa syarikat-syarikat perkapalan Jepun membayar sejumlah wang itu kepada ejen di Hong Kong sebagai sogokan kepada pegawai kanan Kerajaan Sarawak yang tidak dinamakan dan "rebat bagi memudahkan urusan dagangan balak mereka."

Menurut laporan Bernama, Dalam Penerangan Sendiri Di Bawah Peraturan Mesyuarat 22, Taib berkata beliau ataupun pegawai kanan kerajaan tidak pernah dihubungi oleh Japan Times bagi mendapatkan penjelasan atau komen sebelum tuduhan yang serius seumpama itu dibuat.

"Saya ingin mengambil peluang ini dengan mutlak dan menolak sepenuhnya semua tuduhan yang terkandung di dalam Japan Times. Kesemua tuduhan itu adalah tidak benar," katanya.

Ketua Menteri itu menjelaskan bahawa industri perkayuan di Sarawak dikawalselia oleh dua undang-undang utama negeri iaitu Ordinan Perhutanan Sarawak dan Ordinan Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) 1973.

Beliau berkata tiada undang-undang atau agensi kerajaan negeri yang mengawalselia penghantaran atau pengangkutan balak yang dieksport dari Sarawak ke destinasi di luar negara.

"Penjual dan pembeli kayu Sarawak perlu menguruskan sendiri hal pengangkutan balak mereka ke luar negara," katanya.

Taib berkata selepas Japan Times menyiarkan dakwaan yang tidak mempunyai bukti itu, kedua-dua media cetak dan elektronik di Malaysia menyiarkan semula dakwaan berkenaan.

Beliau juga berkata terdapat parti politik atau anggota politik yang tidak bertanggungjawab cuba meraih kepentingan politik daripada dakwaan berkenaan.

Beliau berkata tindakan undang-undang akan dilakukan dengan serta merta di Malaysia dan Japan, melainkan akhbar berkenaan dan mereka yang terlibat menyiarkannya menarik balik dan memohon maaf, serta membayar semua kos perundangan dan gantirugi.