Pejabat MB Kelantan jelaskan peruntukan projek khas RM30 juta
Pejabat Menteri Besar Kelantan memberi penjelasan terhadap dakwaan keraguan berkaitan dana projek khas bernilai RM30 juta yang dimasukkan dalam Belanjawan Kelantan 2023.
Dalam kenyataan hari ini, pejabat tersebut berkata dana tersebut membabitkan peruntukan jaminan bekalan makanan (RM10 juta); projek-projek kecil (RM8 juta); projek menangani banjir kilat (RM5 juta); pinjaman mikro kredit (RM3 juta) dan projek air komuniti di bawah bekalan sumber air dan bekalan air alternatif (RM4 juta).
"Pejabat Menteri Besar Kelantan mengambil serius berkaitan laporan media mengenai Pemuda PH dan BN pada16 Julai yang membuat laporan kepada SPRM terhadap dakwaan menyalahguna peruntukan projek-projek khas RM30 juta bagi tujuan PRN Kelantan.
"Sebagai rekod, Belanjawan Kelantan 2023 telah dibentang, dibahas dan diluluskan dengan sokongan semua Adun Kelantan dalam persidangan kali ke-3 (Belanjawan) bagi tempoh penggal kelima dewan undangan negeri (DUN) ke-14 pada 27 Nov 2022," kata kenyataan itu.
Semalam Malaysiakini melaporkan Pemuda PH dan BN Kelantan membuat laporan kepada SPRM agar menyiasat peruntukan tersebut yang dimasukkan dalam Belanjawan Kelantan 2023.

Merujuk perkara yang didedahkan oleh akaun Facebook Mohd Zakri, Ketua Pemuda PH Kelantan Hazmi Hassan mempersoalkan apakah tujuan peruntukan itu disediakan, dan jika ia untuk PRN.
"Kerana pada kebiasaan belanjawan negeri dengan nilai yang besar akan dimaklumkan apakah kegunaan belanjawan tersebut.
"Tetapi ini agak berbeza apabila hanya dinyatakan projek khas dan kita tidak ketahui apakah perinciannya," katanya pada sidang media selepas membuat laporan tersebut di Ibu Pejabat SPRM Kelantan di Kota Bharu, semalam.
Sementara itu Pejabat Menteri Besar Kelantan menegaskan setiap peruntukan dalam Belanjawan 2023 diluluskan dengan teratur, telus dan berintegriti.
"Satu laporan polis akan dibuat terhadap individu terbabit untuk pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut.
"Orang ramai dinasihatkan tidak terpengaruh dengan tohmahan dan fitnah tersebut yang bermotif bagi memburukkan imej menteri besar dan kerajaan negeri menjelang PRN Kelantan," kata pejabat itu.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2020/02/c0010c7363881b1c5d0546969f8161aa.jpg)
