Keadaan Tun Dr Mahathir Mohamad kian baik dan sempat bergurau dengan anggota keluarganya mengenai alat pernafasan oksigen yang kecil berbanding hidungnya.

Bekas perdana menteri itu, yang sebelum ini dalam keadaan separa sedar akibat ubat pelali, sudah mampu minum dengan sendiri, kata anaknya, Datuk Mukhriz.

"Malahan dia sempat bergurau dengan saya mengenai alat pernafasan oksigen yang kecil berbanding hidungnya yang agak besar," katanya kepada pemberita di IJN.

Sementara itu di Langkawi, Bernama melaporkan, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berharap kesihatan Dr Mahathir akan pulih sepenuhnya.

Bercakap kepada pemberita di akhir pertemuannya dengan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Abdullah berkata, beliau tidak mengetahui dengan jelas tahap kesihatan Dr Mahathir kerana kesibukan tugas.

Dr Mahathir, 82, diterbangkan ke IJN dari lapangan terbang antarabangsa Langkawi pukul 11.30 pagi tadi, selepas lebih 18 jam dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Langkawi.

Mukhriz berkata bahawa setelah melalui beberapa pemeriksaan, doctor pakar IJN telah menasihati Dr Mahathir supaya terus berehat dan menerima rawatan di IJN untuk beberapa hari lagi.

Penerbangan khas

Tun Dr Mahathir Mohamad yang dimasukkan ke Hospital Langkawi semalam kerana sesak nafas, telah dibawa balik Kuala Lumpur tengahari ini.

Bekas Perdana Menteri itu diterbangkan ke Kuala Lumpur dengan pesawat khas untuk menerima rawatan lanjut di Institut Jantung Negara.

Pegawai akhbarnya, Sufi Yusoff berkata, Dr Mahathir menunjukkan tindak balas positif terhadap rawatan yang diberikan sekumpulan doktor pakar dari IJN, Hospital Langkawi dan Hospital Alor Star.

Menurut laporan Bernama, Sufi berkata, bekas Perdana Menteri itu dipindahkan ke IJN selepas kumpulan doktor berkenaan berpuas hati dengan tindak balas positifnya.

Semalam, anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Mukhriz berkata, jika keadaannya mengizinkan, kata anak bekas Perdana Menteri itu, Datuk Mukhriz.

Dr Mahathir, 81, di masukkan ke Hospital Langkawi jam 3.50 petang semalam selepas mengadu mengalami kesesakan nafas dan diberi bantuan oksigen.

Mukhriz berkata, doktor yang merawat bapanya menasihati supaya beliau berehat dan hanya keluarga terdekat sahaja yang dibenarkan melawat, demikian menurut laporan Bernama.

Keluarga terdekat

Selain Tun Dr Siti Hasmah Mohamed Ali, yang turut berada di sisi Dr Mahathir ialah beberapa orang anaknya, termasuk Mirzan dan Marina, serta beberapa anggota keluarga terdekat yang lain.

Ditanya punca Dr Mahathir dimasukkan ke hospital selepas mengadu sesak nafas, Mukhriz berkata, ia mungkin disebabkan keletihan. Beliau yakin bapanya akan pulih seperti sedia kala.

"Keadaannya stabil dan sedang berehat. Beliau juga ada meminta sedikit minuman. Belum pasti bila boleh keluar (dari hospital)," katanya.

Dr Mahathir yang ditemani Dr Siti Hasmah tiba di pulau bebas cukai ini pada jam 11 pagi semalam untuk lawatan peribadi selama dua hari dan dijadualkan pulang hari ini.

Mereka berdua sebelum itu berada di Bukit Merah, Perak sejak Khamis lalu untuk menghadiri majlis perjumpaan dengan rakan-rakan bekas pelajar "Class of 47", King Edward College of Medicine, Singapura.

Semasa berehat di kamarnya di Hotel Langkasuka, beliau mengadu sesak nafas dan dibawa oleh doktor peribadinya, Dr Nasir Muda dengan kereta ke Hospital Langkawi pada jam 3.50 petang semalam.