Pengarah Pilihan Raya PN Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa tindakan undang-undang yang dikenakan ke atasnya menandakan kerajaan hari ini sedang "ketakutan".

Ditemui media di luar mahkamah Selayang hari ini Sanusi berkata ketakutan itu berpunca daripada sokongan orang ramai kepada pembangkang sekarang.

"Ini adalah satu petunjuk atau petanda bahawa mereka sebenarnya sedang ketakutan, dan segala aparatus negara dan agensi awam akan digunakan untuk menyekat perkembangan, kehangatan sokongan rakyat," katanya.

Sanusi yang juga anggota Jawatankuasa PAS Pusah hari ini dikenakan dua pertuduhan menghasut di Mahkamah Sesyen Selayang berkaitan dengan kenyataannya dalam sebuah ceramah pada minggu lalu.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut dengan menyebut perkataan untuk membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Dia dituduh melakukan kesalahan berkenaan di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara - Kampung Bendahara, Gombak 11 Julai lepas.

Untuk rekod kenyataan tersebut turut mendapat kemurakaan Sultan Selangor.

Ekoran kenyataan Sanusi itu juga anggota Dewan Diraja Selangor membuat laporan kepada polis bagi menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas menteri besar sementara Kedah berkenaan.

Sultan Selangor sendiri mengakui kes tersebut belum selesai walaupun Sanusi mengutus surat memohon maaf kepada baginda.

Menurut Sanusi pendakwaan ke atasnya dibuat bagi menjejaskan peluang dia bertanding dalam pilihan raya negeri pada bulan depan.

Pun begitu dia yakin orang ramai memahami langkah berkenaan.

"Disegerakan pendakwaan hari ini, tiga hari siasatan saja.... Saya diambil (ditangkap) jam 3 pagi tadi tanpa sebarang notis.

"Saya hanya mengetahui saya didakwa melalui media dan saya bersedia menghadapi kes ini," katanya.

Tambah Sanusi walaupun sudah memaklumkan kepada "beberapa pihak" yang dia akan hadir ke mahkamah pada pagi ini pihak berkuasa tetap membuat tangkapan.

Kata Sanusi dia ditangkap di sebuah apartmen yang didiaminya di Kuala Lumpur.

"Saya harap dalam PRN akan datang akan dimenangi PN," katanya.