Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pegawai kanan MBI Kedah, wanita direman SPRM
Diterbitkan:  Jul 19, 2023 5:58 PM
Dikemaskini: 9:58 AM

Seorang lelaki dan seorang wanita ditahan serta direman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Lelaki terbabit dikatakan pegawai kanan di Menteri Besar Kedah Incorporated (MBI Kedah) manakala wanita berkenaan seorang pengarah syarikat.

Menurut laporan Harian Metro kedua-dua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah serta salah guna kuasa membabaitkan sektor perlombongan.

Memetik sumber, siasatan dijalankan itu membabitkan rasuah bernilai lebih RM13 juta.

Katanya suspek terbabit masing-masing berusia 63 dan 40 tahun.

Menurut sumber seorang daripada mereka ditahan di Alor Setar, Kedah manakala suspek kedua diberkas di Kuala Lumpur.

"Kedua-dua suspek kini direman tiga hari bermula hari ini hingga 21 Julai," katanya dipetik Harian Metro.

Menurut portal itu perintah kebenaran reman dikeluarkan majistret Wan Shahida Abd Rahim di Mahkamah Majistret Alor Setar, selain majistret Norsyakirah Che Hashim di mahkamah Majistret Shah Alam.

SPRM dikatakan mengesyaki aktiviti perlombongan itu dijalankan secara haram dan syarikat yang terbabit diberikan perlindungan daripada pihak berkuasa tertentu sejak 2020.

Hasil siasatan, katanya, mengesan beberapa pembayaran disyaki membabitkan rasuah berjumlah lebih RM13 juta diberikan syarikat terbabit kepada pihak tertentu sejak 2020 bagi melindungi kegiatan perlombongan haram tersebut.

"Syarikat milik wanita yang ditahan reman itu dipercayai mendapat kelulusan untuk menjalankan projek pembangunan ladang hutan pokok getah klon balak (TLC) di dua kompartmen di Kedah pada 2016 lagi," kata sumber berkenaan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, mengesahkan penahanan kedua-dua suspek.

Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 17 dan 23 Akta SPRM 2009.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS