Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata pasukan keselamatan itu perlu bijak mengawal emosi ketika berhadapan sebarang kejadian provokasi ketika bertugas sepanjang pilihan raya negeri (PRN).

Razarudin mengingatkan setiap pegawai dan anggota polis supaya bersikap profesional serta rasional.

"Saya percaya seluruh petugas PDRM bersiap sedia sepenuhnya memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk PRN kali ini.

"Dalam kita melaksanakan tugas yang diamanahkan, kesihatan dan keselamatan diri juga perlu diberi keutamaan.

"Pucuk pimpinan pasukan akan berusaha untuk memastikan kebajikan petugas PDRM sepanjang PRN kekal terjaga," jelasnya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Negara di Bukit Aman di Kuala Lumpur, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Ayob Khan Mydin Pitchay turut hadir perhimpunan itu.

PRN di enam negeri akan berlangsung serentak dengan 29 Julai ini sebagai hari penamaan calon, hari pengundian awal pada 8 Ogos dan 12 Ogos sebagai hari pengundian.