Kempen tubuh kesatuan sekerja di LCC
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melancarkan kempen menubuhkan kesatuan kesatuan sekerja di syarikat penerbangan murah (LCC) di Asia Tenggara ekoran banyak laporan kakitangan LCC ditindas dan kebajikan mereka diabaikan.
Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) melancarkan kempen menubuhkan kesatuan kesatuan sekerja di syarikat penerbangan murah (LCC) di Asia Tenggara ekoran banyak laporan kakitangan LCC ditindas dan kebajikan mereka diabaikan.
"LCC masih enggan menubuhkan kesatuan sekerja walaupun sudah berkali-kali didesak oleh pekerja mereka. Malah ada syarikat yang bersikap anti-kesatuan sekerja," kata Wakil IATA bagi Asia Tenggara, Mustaffar Maarof.
Katanya, terdapat 11 LCC di Asia Tenggara yang belum menubuhkan kesatuan sekerja, termasuk AirAsia, Lion Air, Adam Air dan Jet Star Asia.
Katanya, ia sangat berbeza dengan LCC di Eropah di mana 90 peratus mempunyai kesatuan sekerja yang membela nasib pekerja mereka.
Mustaffar berkata, wakil pekerja syarikat LCC di Malaysia telah datang menemui pihaknya bagi mendapatkan bantuan bagi menubuhkan kesatuan pekerja di syarikat terbabit.
Katanya, mereka mendakwa kakitangan diarah membuat penerbangan lebih daripada sepatutnya, membayar gaji rendah dan membuang pekerja sekalipun dengan kesalah kecil.
Sehubungan itu, kata Mustaffar, pihaknya akan menemui pengurusan syarikat terbabit dalam masa terdekat ini bagi membolehkan kesatuan sekerja ditubuhkan.
Abai aspek keselamatan
Di samping itu, katanya, IATA juga mengesan ada LCC yang mengabaikan aspek keselamatan sehingga terdedah kepada kemalangan semata-mata mahu mengejar keuntungan.
Antaranya, kata beliau, ada LCC yang tidak menjalankan pemeriksaan teknikal oleh jurutera bertauliah untuk menentukan sama ada pesawat tersebut boleh melakukan penerbangan berikutnya.
IATA yang dianggotai oleh 270 syarikat penerbangan dari 140 negara, merupakan badan pengawal syarikat penerbangan tertinggi berpusat di Montreal, Kanada.
"Kegagalan membuat pemeriksaan ke atas pesawat sebenarnya boleh mengundang kemalangan seperti yang berlaku ke atas beberapa pesawat penerbangan murah di rantau ini," katanya kepada malaysiakini.
Mustaffar berkata, syarikat penerbangan terkenal antarabangsa seperti British Airways dan Singapore Airlines tidak pernah berkompromi dalam aspek keselamatan anak kapal dan penumpang.
Oleh kerana itu, katanya, amat jarang pesawat syarikat penerbangan itu terbabit dengan kemalangan.

