Pilih KM: Gerakan tidak layan undian melalui internet, kata Dr Koh
Gerakan tidak akan melayan sebarang bentuk undian yang dikendalikan oleh sebuah lamanweb bagi memilih bakal ketua menteri Pulau Pinang kerana ia tidak saintifik dan tidak membayangkan suara rakyat, kata pemangku parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Gerakan tidak akan melayan sebarang bentuk undian yang dikendalikan oleh sebuah lamanweb bagi memilih bakal ketua menteri Pulau Pinang kerana ia tidak saintifik dan tidak membayangkan suara rakyat, kata pemangku parti itu, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.
Beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, kesahihan undian seumpama itu juga dipertikaikan kerana ia hanya dibuat secara rambang dan tidak melibatkan suara majoriti rakyat.
"Mereka boleh memilih sesiapapun yang mereka mahu tetapi pada hakikatnya, pemilihan sebenar ditentukan oleh rakyat pada pilihanraya," katanya.
Menurut laporan Bernama, Dr Koh menegaskan demikian ketika diminta mengulas langkah sebuah lamanweb pertubuhan bukan kerajaan yang menganjurkan undian bagi memilih ketua menteri terbaik untuk Pulau Pinang bagi tempoh lima tahun akan datang.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Teknologi Komunikasi Antarabangsa di Pulau Pinang hari ini, Dr Koh berkata, undian dalam Internet tidak memberi apa-apa makna kepada Gerakan kerana tumpuan utamanya ialah menyumbang ke arah mempertingkatkan pembangunan negara dan perkhidmatan kepada rakyat.
Koh, yang kini memangku jawatan presiden Gerakan ekoran pengunduran Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik baru-baru ini, berkata beliau belum membuat keputusan muktamad sama ada akan terus memegang jawatan ketua menteri atau bertanding di peringkat Parlimen.
"Semua spekulasi pada masa ini hanyalah andaian kerana saya belum pasti sama ada akan terus menjadi ketua menteri seperti yang pernah diamalkan oleh bekas presiden Tun Dr Lim Chong Eu, atau memegang jawatan menteri seperti Dr Lim Keng Yaik, ataupun tidak memegang sebarang jawatan kerajaan seperti presiden pertama, Dr Syed Hussein Al-Attas," katanya.

