Tok Mat pertahan kerusi DUN Rantau
Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dipertaruhkan BN untuk terus mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.
Mohamad yang kini ahli Parlimen Rembau dan juga Menteri Pertahanan diumumkan mempertahankan kerusi berkenaan oleh Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki.
"N27 siapa lagi kalau bukan jeneral perang Negeri Sembilan yang timbalan pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan," kata Asyraf ketika mengumumkan nama Mohamad.
Pada 15 Jul lalu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden Umno dan Setiausaha Agong DAP Anthony Loke Siew Fook dilaporkan menyuarakan hasrat untuk mempertahankan kerusi DUN masing-masing di Negeri Sembilan pada PRN bulan depan.

Mohamad merupakan penyandang kerusi DUN Rantau, manakala Loke pula penyandang bagi DUN Chennah.
'Ramai mahu saya di Rantau'
Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau ketika ditemui berkata dia bersedia memberi laluan kepada muka baru, namun setakat ini tiada calon lain mahu bertanding di kerusi yang dimenanginya sejak Pilihan Raya Umum (PRU) 2004.
“Sayalah bertanding, kerana ramai nak saya bertanding di DUN Rantau, ramai mahu saya mewakili mereka.
"Saya akan buat keputusan sewajarnya sebelum 29 Julai ini, setakat hari ini tiada siapa yang mahu, saya nak tonjolkan muka baru, tapi mereka sendiri menolak,” kata Mohamad.
Dalam pada itu Asyraf turut mengumumkan nama dua bekas menteri Besar Terengganu, Ahmad Said dan Ahmad Razif Abd Rahman bagi mempertahankan kerusi dimenangi.
Ahmad dan Razif antara 26 calon BN Terengganu yang akan bertanding pada PRN 12 Ogos nanti.
Ahmad yang juga pengerusi Umno negeri akan mempertahankan DUN Kijal, manakala Razif yang juga ketua Umno Kuala Nerus akan mempertahankan DUN Seberang Takir.
/file/publisher-c1a3f893382d2b2f8a9aa22a654d9c97/2023/07/8f832cf584b2cc3bf877beff00ec648d.jpg)
